Ovchekin antara nama besar buru gelaran juara LTdL 2020

KOTA KINABALU,. Juara 2018, Artem Ovchekin daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) adalah antara pelumba terkemuka yang disebut-sebut bakal dinobat pemenang keseluruhan (Jersi Kuning) pada perlumbaan berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang akan bermula di Kuching, Sarawak Jumaat ini.

Human Voyage (M) Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata, selain atlet Russia itu, nama besar yang dijangka memburu Jersi Kuning itu ialah bekas pemenang peringkat bukit pada Tour de France, Pierre Rolland, rakan sepasukan, Cyril Gautier dari B & B Hotels-Vital Concept dari Perancis dan juga pelumba Afrika Selatan, Louis Meintjes mewakili NTT Pro Cycling Team yang menamatkan saingan di kedudukan sepuluh terbaik pada Tour de France 2016 dan 2017.

Juara baharu akan ditampilkan kali ini selepas juara keseluruhan edisi terdahulu, Benjamin Dyball (bekas pelumba Team Sapura Cycling) tidak akan mempertahankan Jersi Kuningnya.

Perlumbaan memburu Jersi Biru juga dijangka menampilkan saingan sengit antara beberapa pelumba Itali seperti Matteo Pelucchi daripada pasukan Bardiniani CSF Fanzane, pemenang peringkat kesembilan tahun lepas, Luca Pachioni mewakili Androni Giacatolli-Sidermec, Riccardo Minali daripada pasukan Nippo Delko One Provence, manakala cabaran Malaysia dijangka daripada Mohd Harrif Saleh daripada pasukan TSG yang meraih kemenangan sensasi di peringkat kedua LTdL 2019.

Perlumbaan bagi kategori Asia (Jersi Putih) dijangka tidak kurang sengitnya dengan pelumba daripada sepuluh pasukan berkobar-kobar menonjolkan prestasi terbaik kerana ia mempertaruhkan mata berharga dalam rangking dunia UCI untuk direbut.

Sejumlah 21 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka pada perlumbaan edisi ke-25 ini yang akan bermula dengan Perlumbaan Antarabangsa Kriterium Resort World Genting Kota Kinabalu, di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 6 Feb.

LTdL 2020 dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 15 Feb, meliputi jarak 1,114.9 kilometer merentasi lapan negeri– Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Selangor, Perak, Penang, Kedah — serta Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )