PADU USM perlu RM290,000 untuk bekal peralatan sokongan kepada pesakit COVID-19

PADU USM perlu RM290,000 untuk bekal peralatan sokongan kepada pesakit COVID-19

GEORGE TOWN,. Persatuan Alumni Doktor (PADU) Universiti Sains Malaysia (USM) masih memerlukan sumbangan berjumlah RM290,000 untuk meneruskan usaha membekal alatan kepada hospital yang memerlukan bagi merawat pesakit COVID-19.

Presidennya, Prof Datuk Jafri Malin Abdullah berkata PADU telah mewujudkan satu Projek Dana Pembelian Alatan Sokongan dan Bantuan Pernafasan: (COVID-19) yang bermula sejak 23 Mac lepas, bertujuan membantu hospital-hospital yang memerlukan alatan sokongan pernafasan untuk merawat pesakit COVID-19 dan pesakit yang mengalami jangkitan pernafasan akut yang teruk (SARI).

“Kos anggaran sebenar bagi projek ini adalah RM380,000 dengan mengambil kira hasrat PADU untuk memenuhi permintaan semua hospital yang memerlukan. Namun, buat masa ini kutipan hanya berjaya mencecah RM90,000.

“Kami hanya mampu membekalkan alatan ini kepada beberapa buah hospital tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, kami masih dihubungi oleh hospital-hospital lain yang begitu berhasrat untuk mendapatkan peralatan sokongan pernafasan yang sangat diperlukan ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, dengan sumbangan RM90,000 itu, PADU berjaya membeli 11 set helmet ‘Continuous Positive Airway Pressure’ (CPAP) dan lima helmet ‘Bilevel Positive Airway Pressure’ (BiPAP) yang telah diagihkan kepada enam buah hospital di Malaysia iaitu Hospital Sungai Buloh (Selangor), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kelantan), Hospital Queen Elizabeth 1 (Sabah), Hospital Umum Sarawak dan Hospital USM (Kelantan).

Sebagai menghargai jasa petugas barisan hadapan dalam merawat pesakit COVID-19, Dr Jafri berkata PADU turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengagihkan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hampir 20 hospital di seluruh Malaysia termasuk pemberian pelindung muka kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan staf makmal di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Tumpat dan Hospital USM.

Katanya orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) bernombor 03018010143411 dengan rujukan CPAP COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This