Pahang sumbang RM700,000 kepada rakyat Palestin

Pahang sumbang RM700,000 kepada rakyat Palestin

KUANTAN,. Pahang menyampaikan sumbangan wang tunai RM700,000 kepada rakyat Palestin menerusi kutipan dana Pahang4Palestine, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata selain pemberian RM250,000 oleh kerajaan negeri, sumbangan turut diterima daripada penduduk Pahang, UMNO Pahang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bersimpati dengan nasib penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel itu.

“Tumpuan utama sumbangan ini difahamkan akan digunakan bagi membaik pulih masjid dan sekolah yang musnah dalam serangan, dan kita pastikan sumbangan ini benar-benar sampai kepada penduduk Palestin,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kempen Dana Tabung Pahang4Palestine dan Pelancaran Projek Rakyat Pahang di Bumi Gaza yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar Pahang di sini semalam.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjadi penaung kepada kedua-dua kempen berkenaan.

Majlis turut disertai oleh aktivis Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang berada di Gaza serta beberapa penduduk kawasan berkenaan menerusi siaran di laman sosial Facebook, yang antara lain menyaksikan bendera Pahang dinaikkan di perkarangan sekolah yang dibaik pulih menggunakan sumbangan berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )