
‘Pakar sains tak penting’
KUALA LUMPUR,. Pengurusan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang disifatkan kurang arif mengurus secara profesional menjadi antara punca aspek sains bola sepak menjadi perkara terakhir dalam ‘senarai semak’ mereka.
Situasi itu diakui Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang melihat ada pasukan yang seakan kurang sedar mengenai kepentingan memiliki pakar sains bola sepak dalam pasukan masing-masing yang mana situasi ini secara tidak langsung memberi kesan kepada prestasi pemain mereka.
“Sebenarnya pakar sains seperti fisioterapi dan tukang urut memang penting dalam pengurusan bola sepak profesional. Sebab itu setiap pasukan perlu ada pakar seperti ini.
“Sebagai contoh, kalau pemain berdepan kecederaan dan doktor memberikan tempoh masa untuk pulih selama tiga bulan. Kalau ada pakar yang berkualiti dan berpengalaman, pemain itu dapat pulih lebih cepat berbanding jika dikendalikan mereka yang kurang pakar.
“Selain itu, mungkin ada pihak yang merasakan sains bola sepak bukanlah keutamaan, jadi mereka lebih mementingkan aspek lain seperti melabur untuk pasukan utama dengan menambahbaik pemain atau sebagainya.
“Tetapi ada juga berdepan kekangan seperti tiada bajet untuk mendapatkan pakar berkualiti. Mereka terpaksa mengambil individu yang kurang kepakaran dan pengalaman untuk mengendalikan aspek terbabit dalam pasukan mereka,” katanya.
Sathianathan mengulas mengenai kenyataan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa yang merumuskan ekosistem bola sepak di negara ini memandang enteng kepentingan sains sukan.
Justeru, katanya, Anak Malaysia yang bekerja sebagai saintis sukan di Akademi Aspire, Mohd Firdaus Maasar sama sekali tidak dapat ‘bernafas’ dan tiada tempat dalam ekosistem bola sepak di negara ini.
Dalam perkembangan sama, Sathianathan yang juga jurulatih Selangor mendedahkan ramai anak tempatan yang sebenarnya memiliki kepakaran dan kualiti dalam sains bola sepak yang dilihat setanding dengan pakar luar negara.
“Ramai anak tempatan yang memiliki kelayakan dan sijil daripada Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Jadi mereka memang berkebolehan untuk mengendalikan aspek sains bola sepak ini.
“Sesuailah dengan taraf mereka yang bergelar pakar, sudah tentu pasukan pun perlulah berbelanja lebih sedikit kalau mahu dapatkan khidmat mereka,” katanya.