
Pakar virus beri amaran mungkin berlaku gelombang kedua
WASHINGTON,. Pakar virus terkemuka Amerika Syarikat (AS) memberi amaran terhadap kemungkinan peningkatan jumlah kematian, susulan penarikan semula perintah berkurung terlalu awal.
Kajian dilakukan pakar wabak, Anthony Fauci mendapati, penarikan semula perintah berkurung walaupun secara berhati-hati boleh mencetuskan kemunculan gelombang kedua.
Dalam testimoni kepada penggubal undang-undang, Fauci mengakui jumlah sebenar kematian akibat COVID-19 di AS berkemungkinan lebih tinggi berbanding perangkaan rasmi sebanyak 80,000.
Meskipun Presiden, Donald Trump mahu menggerakkan semula ekonomi, Fauci memberi amaran bahawa musibah lebih buruk bakal terjadi, jika semua negeri dan bandaraya tidak menghiraukan langkah keselamatan apabila melonggarkan perintah berkurung.
Ia adalah susulan daripada amaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) bahawa gelombang kedua COVID-19 boleh tercetus jika jangkitan baharu gagal dikawal.
Ia berlaku ketika Russia mula melonggarkan peraturan perintah berkurung, walaupun kadar jangkitan negara itu melebihi 232,000, sekali gus mencatat rekod sebagai negara kedua tertinggi di dunia selepas AS.
Negara terbabit merekodkan penanda aras baharu, Selasa selepas seminggu mencatatkan jumlah jangkitan harian melebihi 10,000, termasuk jurucakap Presiden Vladimir Putin yang disahkan positif COVID-19 baru-baru ini.
Beberapa bahagian di Russia sudah kembali kepada kehidupan asal Selasa, sekali gus mengakhiri minggu tidak bekerja untuk sebilangan rakyat.
Pengguna pengangkutan awam turut diwajibkan memakai topeng muka dan sarung tangan, iaitu sebahagian daripada peraturan baharu anti virus. – AFP