Pakatan UMNO-PAS: GPS memilih untuk bersendirian – Abang Jo

KUCHING,. Gabungan Parti Sarawak (GPS) lebih selesa dan memilih bergerak bersendirian daripada menyertai mana-mana parti politik dari Semenanjung Malaysia, kata pengerusinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari, yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata mereka sekarang memfokus kepada pembangunan negeri ini dan ingin memberikan sesuatu kembali kepada rakyat.

“Kami lebih suka bergerak bersendirian. Jika kami jaga rumah kami dengan baik, maka ramai orang akan datang melabur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Centexs-SMA Safari 2019, di sini hari ini.

Abang Johari diminta mengulas tentang kolaborasi UMNO-PAS yang menyaksikan dua parti Melayu itu menandatangani memorandum kerjasama dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional.

Memorandum itu ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (UMNO) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS).

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar BN pada Mei 2018 dan bertindak membentuk GPS.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This