
Pakej PRIHATIN, PENJANA bantu tukang jahit jana pendapatan
TAWAU,. Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diperkenalkan kerajaan memberikan semangat baharu kepada tukang jahit yang terjejas ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lazimnya, saat menjelangnya Syawal merupakan waktu di mana mereka memperoleh pendapatan yang lebih berbanding bulan yang lain dan rata-rata tukang jahit pada waktu itu tidak menang tangan menerima tempahan jahitan.
Namun, tahun ini cukup berbeza kerana mereka bukan sahaja tidak menerima tambahan tempahan, malah terpaksa menerima hakikat sekiranya ada pelanggan mereka yang terpaksa membatalkan tempahan ekoran keadaan ekonomi keluarga yang tidak stabil.
Mujur, pihak kerajaan memahami kesusahan yang ditanggung oleh pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan memperkenalkan pakej PRIHATIN dan PENJANA bagi membantu meringankan bebanan golongan ini.
Tukang jahit, Fatmahwati Abbas, 42, berkata, pelaksanaan PKP sejak tiga bulan lalu memberi impak kepada punca rezeki keluarganya yang mengharapkan pendapatan hasil tempahan jahitan memandangkan pendapatan suaminya sebagai pengusaha bas sekolah turut terjejas pada waktu itu.
“Saya masih bernasib baik tidak perlu memikirkan soal bayaran sewa premis kerana semua aktiviti menjahit dilakukan di rumah sejak lebih 10 tahun yang lalu,” katanya.
Fatmahwati berkata, keputusan untuk mengisi permohonan pinjaman secara dalam talian bersama Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional awal bulan April tahun ini merupakan keputusan yang tepat untuk membantu kelangsungan perniagaan jahitannya.
Tidak sampai sebulan sejak permohonan itu, pihak TEKUN datang melawat untuk membuat pengesahan aktiviti perniagaan jahitan saya sebelum kelulusan diberikan pada 25 April tahun ini.
“Permohonan kali pertama itu, pihak TEKUN memberikan kelulusan pinjaman sebanyak RM8,000 untuk menjana semula perniagaan jahitan selain dapat membeli mesin jahit baharu model terkini,” katanya.
Menurutnya, pakej PRIHATIN dan PENJANA yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merupakan khabar gembira kepada pengusaha PKS kerana memberikan skim pinjaman mudah tanpa faedah.
“Selain itu, sejak PKP dilaksanakan semua bayaran pinjaman balik ditangguhkan selama enam bulan sehingga bulan Oktober dan membolehkan kami membuat pusingan balik modal yang dikeluarkan,” katanya.