Pakej rangsangan ekonomi beri peluang pemain industri pelancongan rangka pelan baharu

Pakej rangsangan ekonomi beri peluang pemain industri pelancongan rangka pelan baharu

LANGKAWI,. Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 memberi peluang buat pemain industri pelancongan di pulau peranginan bebas cukai ini merangka pelan tambahan bagi mengurangkan impak penularan COVID-19.

Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi, Ahmad Phisol Ishak berkata pakej itu yang diumumkan Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat positif dan mampu membantu pemain industri memulihkan kembali perniagaan mereka yang terjejas.
“Saya lihat pakej yang diumumkan telah mengambil kira keperluan pemain industri seperti pengusaha hotel, pemilik produk malahan pemandu pelancong. Ini amat memberi mesej bahawa kerajaan melihat impak yang berlaku kepada pemain industri dan cuba membantu.

“Alhamdulillah lega dengan pengumuman tadi, semuanya positif bagi membantu industri pelancongan khususnya di Langkawi untuk maju ke hadapan. Pengumuman pakej ini memberi peluang buat pemain industri di Langkawi merangka strategi terbaik untuk mengurangkan impak berikutan penularan COVID-19 yang berlaku kepada perniagaan masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dr Mahathir hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan COVID-19 dapat ditangani dengan berkesan dan dalam masa yang sama, beberapa strategi dan rancangan juga akan dilaksana bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan.

Sementara itu, seorang pemandu teksi Hamid Awang, 67, yang beroperasi di Terminal Feri Penumpang Kuah berkata sejak penularan COVID-19, pendapatannya turun hampir 40 peratus.

“Dulu sehari boleh dapat lebih lima perjalanan tetapi sejak berlaku COVID-19 memang memberi kesan kepada saya, sebagai contoh hari ini tunggu dari pagi hingga petang baru dapat tiga perjalanan. Kesan COVID-19 memang sangat terasa, boleh nampak pelancong warga China sangat kurang.

“Tadi Dr Mahathir ada umum, kerajaan akan memberikan bayaran secara one-off sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran, pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar alhamdulillah dapat juga kurangkan masalah kami ketika ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )