
Pakistan buka siasatan jenayah 50 juruterbang palsukan lesen
MOSCOW, 17 Sept — Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA) Pakistan melancarkan siasatan jenayah terhadap 50 juruterbang dan lima pegawai penerbangan awam kerana disyaki memalsukan lesen, lapor agensi berita Sputnik, memetik Reuters.
Terdahulu, Menteri Penerbangan negara itu, Ghulam Sarwar Khan berkata pihak berkuasa Pakistan akan mengenakan larangan kepada 262 juruterbang, termasuk 141 juruterbang Pakistan International Airlines, berikutan lesen penerbangan mereka meragukan.
Menteri itu berkata juruterbang berkenaan mungkin memalsukan keputusan satu hingga lapan ujian.
Berdasarkan notis diterima seorang daripada juruterbang, FIA sedang menyiasat “dakwaan rasuah, pelanggaran, penyelewengan dalam (pengeluaran) lesen kru penerbangan.”
“Kabinet diberitahu FIA telah membuka proses penyiasatan ke atas juruterbang yang lesennya ditarik, dan pegawai penerbangan awam yang berhubungan dengan mereka,” menurut minit mesyuarat kabinet.
— BERNAMA