Palang Merah Filipina sambung semula saringan COVID-19 selepas separuh hutang dilunaskan
MANILA,. Palang Merah Filipina (PRC) pada Selasa berkata ujian saringan COVID-19 akan disambung semula “sepenuhnya” pada Rabu selepas syarikat insurans kerajaan, PhilHealth melunaskan separuh hutangnya, lapor agensi berita Xinhua.
“Kami akan segera memulakan ujian saringan. Malam ini, saya telah meminta setiausaha jeneral (PRC) dan semua makmal kami di seluruh negara untuk memulakan semula perkhidmatan PhilHealth,” kata Senator Richard Gordon kepada wartawan dalam satu wawancara dalam talian.
“Ujian akan dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila malam ini dan esok, ujian berkala juga akan dijalankan sepenuhnya,” tambah Gordon merangkap pengerusi PRC.
Gordon mengumumkan ujian saringan disambung semula beberapa jam selepas PhilHealth membuat bayaran 500 juta peso (US$10.3 juta) kepada PRC.
PRC membantu kerajaan menyaring pekerja Filipina yang kembali dari luar negara, tetapi ditangguhkan sementara apabila PhilHealth gagal melunaskan hutang bernilai lebih 1 bilion peso (US$20.6 juta).
Sejumlah 30 peratus daripada jumlah ujian COVID-19 di seluruh negara dikendalikan PRC.
Data Jabatan Kesihatan menunjukkan PRC menyumbang lebih sejuta dari 4.3 juta ujian yang dibuat di Filipina pada 18 Oktober.
Filipina kini merekodkan 373,144 kes COVID-19 termasuk 328,602 pemulihan dan 7,053 kematian.
— BERNAMA