Panggilan video ubati kerinduan komuniti Dayak sambut Gawai

Panggilan video ubati kerinduan komuniti Dayak sambut Gawai

JOHOR BAHRU,. Berjauhan daripada keluarga dan menyambut Hari Gawai dalam pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bukan penghalang Komuniti Dayak di Pasir Gudang di sini untuk mengekalkan adat dan budaya mereka.

Hazlena Abdullah (gambar kecil, kiri), 44, yang tidak dapat meraikan Hari Gawai di kampung halamannya di Kampung Simpang Simunjan, Serian, Sarawak, sejak dua tahun lepas berkata perayaan itu tetap diraikan secara sederhana bersama anak-anak dan suami di rumah mereka di Taman Kota Masai, di sini.

Menetap di Johor sejak 22 tahun lepas, ibu kepada lima cahaya mata itu berkata dia akur dengan langkah kerajaan menguatkuasakan sekatan pergerakan penuh bagi memutuskan rantaian COVID-19 namun berharap agar perayaan itu dapat disambut seperti kelaziman, tahun depan.

Seperti tahun lepas, Hazlena berkata dia menghubungi keluarga tercinta dan sanak saudara di kampung halaman menerusi panggilan video bagi mengubati rindu selain melakukan upacara ‘ngirup ai pengayu’ iaitu meminum air tuak yang merupakan simbolik perayaan tersebut.

“Bagi yang beragama Islam seperti saya, air tuak itu diganti dengan mana-mana air biasa mengikut kehendak kerana ia simbolik perayaan untuk meminta agar dipanjangkan umur dan murah rezeki sahaja,” katanya yang ditemui Bernama di rumahnya baru-baru ini.

Hazlena yang berketurunan Iban berkata Hari Gawai tidak lengkap disambut tanpa juadah istimewa termasuk mi kolok, ayam pansuh, laksa Sarawak dan kuih tradisional seperti penganan jala dan kuih cuan.

“Saya buat persiapan seperti biasa setiap kali Hari Gawai. Anak-anak pun saya ajar bagaimana untuk menyediakan juadah tersebut supaya hidangan ini tidak dilupakan.

“Daripada segi pakaian pula, saya sekeluarga biasanya memakai baju batik Sarawak bermotifkan ‘Pua Kumbu’,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Raban Anak Sarawak Johor Muhammad Danish Sangkan Jantom (gambar kecil, kanan) berkata kira-kira 5,000 anak Sarawak di negeri ini berdaftar di bawah persatuan itu termasuk daripada kaum Iban, Bidayuh, Kayan dan Kenyah.

“Kalau Hari Gawai, kita memang ada buat sambutan sebelum ini (sebelum pandemik COVID-19) kerana ia penting untuk kita tetap genggam adat walau di negeri mana kita berada.

“Kita juga kekalkan ukhuwah contohnya kalau ada kematian, saya akan lantik ketua di beberapa kawasan untuk memberi derma dan ziarah ke tanah perkuburan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This