Panjut bentuk kapal selam KRI Nanggala tanda simpati

Panjut bentuk kapal selam KRI Nanggala tanda simpati

BAGAN SERAI,. Sekumpulan enam anak muda yang bersimpati dengan tragedi tenggelamnya KRI Nanggala 402 di perairan Bali, Indonesia telah mereka replika kapal selam itu sebagai panjut di Kampung Bukit Merah, Semanggol.

Jurucakap kumpulan tersebut Azizul Hafiz Mohd Nordin, 34, berkata panjut berbentuk rangka kapal sepanjang hampir lapan meter dan tinggi tiga meter direka sebagai penghormatan kepada 53 kru Nanggala 402 yang terkorban dan tanda sokongan kepada rakyat Indonesia.

Beliau berkata ilham membina panjut itu tercetus setelah melihat insiden kapal selam berkenaan yang memberi impak emosi cukup mendalam kepada rakyat di kebanyakan negara termasuklah Malaysia yang turut bekerjasama dalam misi mencari dan menyelamat.

“Pada peringkat awalnya, saya bersama lima rakan sebaya hendak membuat panjut bentuk kapal yang biasa-biasa sahaja, tetapi ada yang mencadangkan supaya membuat bentuk kapal selam KRI Nanggala 402 sebagai tanda simpati terhadap nahas yang berlaku.

“Setelah mencapai kata sepakat kami mencari bahan-bahan yang sesuai dan akan menyiapkan panjut berkenaan dalam tempoh empat hari. Lebih 120 pelita panjut telah digunakan dan kini kami berada di fasa akhir bagi menyiapkan keseluruhan kapal selam ini,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Menurut Azizul Hafiz, rangka kapal selam itu menggunakan besi serta buluh dan ditebuk untuk dijadikan tempat sumbu pelita selain bahan terbuang seperti tin minuman aluminium membentuk sumbu pelita sebelum dimasukkan ke dalam lubang yang ditebuk pada buluh.

Azizul Hafiz berkata kali terakhir pesta panjut diadakan di kawasan itu adalah pada 2017 dan Kampung Bukit Merah berjaya meraih tempat ketiga menerusi pelita panjut berbentuk rumah kampung.

Reka bentuk api pelita panjut berbentuk kapal selam KRI Nanggala 402 adalah persiapan komuniti Kampung Bukit Merah untuk mengambil bahagian dalam Pesta Panjut Ramadan anjuran UMNO Bahagian Bagan Serai.

Pelita panjut itu dibangunkan di perkarangan pusat komuniti CTC Bukit Merah bersama tiga lagi reka bentuk pelita panjut yang lain seperti panjut berbentuk rumah kampung, pintu gerbang dan kereta api elektrik (ETS).

Pada 25 April lepas, Indonesia mengumumkan KRI Nanggala-402 tenggelam dan semua 53 kru terkorban selepas kapal selam itu dilaporkan hilang pada 21 April

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )