
Pantau pelaksanaan PENJANA untuk capai matlamat – Majlis Belia Sabah
KOTA KINABALU,. Majlis Belia Sabah (MBS) menyarankan agar kerajaan sentiasa memantau serta meneliti pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk mencapai sasaran dan matlamat yang dirancang.
Pengerusi tetapnya Mazlan Joe Manan berkata PENJANA, yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam, mengambil kira hampir keseluruhan sektor ekonomi bagi menggalakkan pertumbuhan berterusan ekonomi negara yang terkesan akibat COVID-19.
“Kegusaran rakyat, khususnya mereka yang telah kehilangan pekerjaan dan peniaga yang gulung tikar, dapat diimbangi dengan pelbagai inisiatif dalam PENJANA seperti Perluasan Program Subsidi Upah kepada tiga bulan lagi.
“Program Insentif Pengambilan Pekerja oleh kerajaan juga mampu menggalakkan sektor perniagaan mengambil pekerja yang dibuang dan mampu mengurangkan pengangguran,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan melalui PENJANA kepada sektor ekonomi untuk mambantu mereka mengekalkan perniagaan dan menjana pertumbuhan ekonomi negara.
“Inisiatif baharu kerajaan melalui inisiatif Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) PENJANA Komuniti juga mampu menggalakkan komuniti sesuatu tempat untuk membina dan mencipta sesuatu bagi kepentingan ekonomi setempat dan kemajuan negara,” katanya.
Mazlan Joe berkata kerisauan golongan muda yang terlibat dalam sektor pelancongan juga diambil kira apabila pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi membantu mereka mengekalkan perniagaan seperti Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA.
— BERNAMA