Para pengurus harta wakaf digesa teroka potensi ekonomi harta wakaf

Para pengurus harta wakaf digesa teroka potensi ekonomi harta wakaf

KUALA LUMPUR,. Pengurus-pengurus harta wakaf dan pihak yang berkaitan dengan pembangunan dan pentadbiran harta berkenaan digesa supaya lebih kreatif dalam meneroka potensi ekonomi penggunaan harta wakaf.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata ketika ini terdapat banyak tanah-tanah wakaf yang dilaporkan tidak dibangunkan dengan baik.

“Menurut Yayasan Wakaf Malaysia, hanya 12 peratus daripada hampir 31,000 hektar tanah wakaf telah dibangunkan, kebanyakannya bagi tujuan keagamaan seperti masjid, kubur, dan sekolah-sekolah agama.

“Amat sedikit aset-aset wakaf ini dibangunkan bagi tujuan sosio ekonomi yang lebih inklusif, seperti pusat-pusat perniagaan dan hub pengangkutan, yang boleh menjana pulangan bagi menyokong pembangunan ekonomi ummah,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di majlis penyampaian anugerah dan pengiktirafan Persidangan Wakaf Global (GWC) 2019 di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata ketika ini kerangka kerja penyelarasan yang lebih efektif, tahap profesional yang lebih tinggi dan urus tadbir yang baik dalam pentadbiran wakaf Malaysia diperlukan bagi meraih keyakinan ramai dan membekalkan manfaat maksimum kepada ummah.

Beliau berkata ini kerana masih ada persepsi umum bahawa pengurusan institusi dan harta wakaf di seluruh dunia ketika ini amat buruk sekali, termasuk di Malaysia.

Menurutnya isu itu menjadi bertambah parah disebabkan kekurangan kerangka kerja perundangan yang efektif berhubung pentadbirannya , di samping urus tadbir yang buruk dan kurang telus.

Oleh itu dalam konteks Malaysia, katanya kerajaan telah menunjukkan keseriusan dalam menyokong pembangunan harta wakaf, terutama dari segi pembangunan kerangka kerja perundangan yang efektif dalam mengurus hal ehwal wakaf.

“Ketika ini lima negeri telah menampilkan enakmen tertentu mengenai wakaf menerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing; yang terdiri daripada Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, dan Terengganu.

“Pada masa yang sama, kerajaan persekutuan sedang dalam proses mewujudkan akta wakaf bagi menyelaras pengurusan wakaf di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu hari ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fauziah Salleh selepas melancarkan GWC 2019, dilaporkan berkata deraf rang undang-undang berhubung Akta Wakaf akan mewujudkan mekanisma pengurusan wakaf yang lebih baik yang boleh dijadikan model bagi kerajaan-kerajaan negeri, dan ia akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This