Paraguay umum rombakan kabinet

Paraguay umum rombakan kabinet

ASUNCION: Presiden Paraguay Mario Abdo Benitez mengumumkan satu rombakan kabinet kelmarin selepas bantahan jalanan yang ganas terhadap cara kerajaan menguruskan pandemik COVID-19. Beliau mengumumkan orang baharu akan dilantik bagi kementerian kesihatan, pendidikan, isu-isu wanita dan hal ehwal awam.

“Saya pasti bahawa mereka yang dinamakan akan melakukan sedaya upaya mereka bagi berdepan dengan saat krisis ini yang sedang dihadapi oleh negara,” menurut presiden. Ribuan penunjuk perasaan berbalah dengan polis pada Jumaat lepas, menggeledah kedai-kedai dan membakar kereta. Seramai 21 orang telah tercedera, kata pihak berkuasa hospital.

Rakyat Paraguay berasa berang dengan kekurangan peralatan perlindungan peribadi dan peralatan lain bagi berdepan dengan krisis kesihatan dan satu kegagalan dalam sistem penjagaan kesihatan. Menteri kesihatan telah meletakkan jawatan pada Jumaat lepas.

Kelmarin, seramai 5,000 orang lagi keluar untuk melakukan protes, namun kali ini rali diadakan secara aman, dan mereka menyeru untuk peletakan jawatan presiden.

Sehingga Jumaat, Paraguay telah melaporkan 165,811 kes koronavirus dan 3,278 kematian.

Ia sedang menunggu ketibaan empat juta dos vaksin dari sistem Convax oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan sejuta dos bagi vaksin Sputnik 5 Rusia, untuk populasi hanya lebih tujuh juta orang.

Setakat ini, Paraguay telah menerima hanya 4,000 dos vaksin dari Rusia,untuk kakitangan rawatan intensif.

— AFP

CATEGORIES
Share This