Parlimen bersidang 15 hari mulai 18 Mei depan

Parlimen bersidang 15 hari mulai 18 Mei depan

KUALA LUMPUR,. Mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen Ke-14, yang kembali bersidang 18 Mei ini, akan berlangsung selama 15 hari, selepas pembukaannya dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin A’-Mustafa Billah Shah.

Sepanjang tempoh persidangan hingga 23 Jun itu, Dewan Rakyat akan bercuti tiga kali iaitu dari 26 hingga 28 Mei kerana sambutan Aidilfitri, 1 dan 2 Jun sempena Hari Gawai, serta 8 Jun sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff, berkata malam tadi pihaknya menerima surat rasmi daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis, memaklumkan tarikh persidangan baharu bermula 18 Mei ini, berbanding jadual asal ditetapkan pada 9 Mac.

Beliau berkata, menerusi surat berkenaan, kerajaan memutuskan sesi Parlimen ditunda kepada tarikh lain, selain memaklumkan butiran mengenai takwim persidangan Dewan Rakyat bagi penggal ketiga tahun ini.

Istiadat pembukaan Parlimen akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, pada jam 10 pagi 18 Mei dan sidang kemudian akan berlangsung selama 15 hari, iaitu sehingga 23 Jun.

Berdasarkan takwim sama, mesyuarat kedua Dewan Rakyat seterusnya akan berlangsung 17 hari, mulai 27 Julai hingga 27 Ogos, yang turut bakal menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pada 6 Ogos.

Sepanjang tempoh itu, Dewan Rakyat bagaimanapun tidak bersidang pada 30 Julai sempena Aidiladha dan dua hari iaitu 19 dan 20 Ogos susulan Awal Muharam.

Mesyuarat ketiga Dewan Rakyat pula dijadual berlangsung selama 36 hari, mulai 28 September hingga 26 November, yang turut memuatkan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 oleh Menteri Kewangan, pada 2 Oktober, jam 4 petang.

Sidang mesyuarat ketiga tidak berlangsung hanya sehari, iaitu pada 29 Oktober berikutan Maulidur Rasul.

Mohamad Ariff berkata, ketetapan tarikh mesyuarat adalah selaras Peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Justeru katanya, Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat akan membuat tindakan susulan dengan mengeluarkan notis panggilan mesyuarat kepada semua ahli dewan.

CATEGORIES
TAGS
Share This