Pasaran getah dijangka meningkat minggu hadapan

Pasaran getah dijangka meningkat minggu hadapan

KUALA LUMPUR,. Pasaran getah Malaysia dijangka akan didagangkan lebih tinggi pada minggu hadapan berikutan lonjakan permintaan yang timbul daripada peningkatan bekalan akhir tahun segmen automotif China.

Bekas Presiden Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low memberitahu ekonomi China sedang bergerak ke arah momentum sebelum COVID-19 apabila lebih banyak warganegaranya mendapat suntikan vaksin.

“Dengan program pemulihan ekonomi mendapat momentum di banyak negara, penggunaan getah pasti akan melonjak. Permintaan dan harga dijangka stabil walaupun terdapat ancaman varian COVID-19 Delta yang baharu,” katanya kepada Bernama.

Katanya, terdapat aktiviti membeli lateks pukal dengan kuantiti yang banyak sejurus selepas industri sarung tangan perubatan beroperasi kembali selepas ditutup selama dua minggu akibat Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD).

“Kita juga akan menyaksikan kerancakan dalam aktiviti segmen getah basah dan kering selepas industri yang menggunakan kedua-dua bahan itu kembali beroperasi seperti biasa menjelang hari-hari dan bulan-bulan yang akan datang.

“Adalah diharapkan kerajaan akan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluar sarung tangan beroperasi pada kadar 100 peratus dan bukan pada 60 peratus pada masa ini,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, seorang peniaga lain meramalkan pasaran akan bergerak dalam jajaran kecil susulan sentimen pasaran global yang kekal berhati-hati dengan penyebaran varian Delta COVID-19 di beberapa ekonomi utama.

Katanya, harga juga dijangka akan menjejaki prestasi ringgit berbanding dolar US, pasaran niaga hadapan getah serantau dan penanda aras harga minyak mentah.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran getah tempatan ditutup rendah, dipengaruhi oleh prestasi yang bercampur-campur di pasaran niaga hadapan getah serantau dan kebimbangan mengenai penyebaran COVID-19.

Secara mingguan, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia (MRB) untuk SMR 20 meningkat 3.5 sen kepada 716 sen sekilogram, sementara lateks pukal mengukuh 17 sen kepada 516.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang hari Jumaat, harga penutup MRB untuk SMR 20 berada pada 724.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal mencecah 520.5 sen sekilogram.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This