Pasaran getah diniagakan dalam jajaran kecil minggu hadapan

Pasaran getah diniagakan dalam jajaran kecil minggu hadapan

KUALA LUMPUR,. Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil pada aliran menurun selepas permintaan mencatatkan kejatuhan, kata bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma), Denis Low.

Beliau menjangkakan pasaran akan berada dalam minggu yang lengang apabila komoditi itu mula distok semula bagi mengekalkan permintaan dan harga.

“Pengeluaran yang lebih rendah disebabkan hujan mampu mengimbangi harga manakala ancaman musim tengkujuh boleh mencetuskan beberapa aktiviti penstokan,” katanya kepada Bernama.

Di samping itu, lonjakan kes COVID-19 di Eropah baru-baru ini menjadi kebimbangan utama selepas Jerman ditimpa lebih 30,000 kes sehari.

Seorang lagi peniaga berkata harga pasaran minggu depan dijangka terjejas oleh ketidaktentuan daripada penamatan pelan stimulus COVID-19 oleh bank pusat di seluruh dunia di tengah-tengah kebimbangan mengenai kerapuhan pemulihan ekonomi.

“Harga juga dijangka dipengaruhi oleh prestasi ringgit, pasaran niaga hadapan getah serantau dan penanda aras harga minyak mentah,” katanya. “Pengendali pasaran juga akan memantau pengumuman laporan pekerjaan utama Amerika Syarikat yang mampu menangguhkan keputusan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan.”

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran getah tempatan menyusut berbanding minggu sebelumnya, diheret turun dengan prestasi lemah pasaran niaga hadapan getah serantau serta harga minyak mentah di tengah-tengah data ekonomi yang agak lembap dari zon China, Amerika Syarikat dan Eropah.

Pada asas mingguan, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LTDN) bagi SMR20 menurun 39.0 sen kepada 688.5 sen sekilogram manakala lateks pukal merosot 22.5 sen kepada 526.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang semalam, harga penutup MRB bagi SMR 20 berada pada 689.0 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 529.5 sen sekilogram.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This