Pasaran saham dibuka rendah menjelang cuti umum

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi buat seketika pagi ini sebelum melungsur turun berikutan kekurangan pemangkin baharu menjelang cuti hujung minggu dan Hari Raya Aidiladha selama tiga hari, bermula esok.

Pada jam 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.26 mata atau 0.14 peratus kepada 1,609.16 daripada 1,611.42 ketika ditutup semalam.

Indeks utama dibuka 2.60 mata lebih tinggi kepada 1,614.02 pada jam 9 pagi.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran positif dengan kaunter untung mendahului rugi 299 berbalas 132 manakala 286 kaunter tidak berubah, 1,280 tidak diniagakan dan 64 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 584.24 juta saham bernilai RM261.77 juta.

Mengulas mengenai urus niaga hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan langkah kerajaan melanjutkan moratorium selama tiga bulan lagi untuk kumpulan bersasar, yang mungkin boleh mengurangkan paras pinjaman tidak berbayar, memberikan sedikit kelebihan kepada sektor kewangan.

“Sementara itu, saham berkaitan penjagaan kesihatan mungkin akan terus menerajui senarai pencatat keuntungan sementara sektor tenaga boleh mendapat rangsangan daripada peningkatan harga minyak Brent yang ditutup menghampiri paras tinggi dua minggu (lebih daripada AS$43 setong),” katanya dalam nota firma itu.

Mengenai keputusan Rizab Persekutuan AS untuk mengekalkan kadar faedah penanda aras antara 0 dan 0.25 peratus, firma itu berkata persekitaran kadar faedah yang rendah menunjukkan kecairan akan kekal dalam lingkungan pasaran saham dan aset yang memberikan pulangan yang tinggi.

“Untuk sekarang, FBM KLCI juga berada di landasan yang tepat untuk memberikan keuntungan bulanan terbesar sejak Oktober 2011,” tambahnya.

Secara teknikal, Malacca Securities berpendapat 1,615 akan berfungsi sebagai paras halangan segera yang telah diuji oleh indeks utama semalam, dengan tahap halangan seterusnya ialah pada 1,630, dan sokongan pada 1,585 dan diikuti dengan 1,560.

Saham-saham berwajaran tinggi, Maybank dan Top Glove, masing-masing meningkat dua sen kepada RM7.77 dan RM26.16, Hartalega menokok enam sen kepada RM20.18, Public Bank susut empat sen kepada RM17.50 sementara Tenaga kekal pada RM11.42.

Dalam kalangan saham paling cergas, Priceworth International dan XOX, masing-masing naik setengah sen kepada 3.5 sen dan 26 sen, BCM Alliance menambah dua sen kepada 31 sen, LKL International lebih tinggi tiga sen kepada 92.5 sen sementara Borneo Oil kekal pada 4.5 sen.

Saham untung termasuk Ajinomoto yang menambah 50 sen kepada RM15.50, MPI meningkat 40 sen kepada RM13.10 dan Sam Engineering and Equipment lebih tinggi 31 sen kepada RM7.52.

Sementara itu, saham rugi utama termasuklah Bursa Malaysia dan Petronas Chemicals, masing-masing susut 12 sen kepada RM9.48 dan RM6.16. Malaysia Airport pula jatuh tujuh sen kepada RM5.06.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 1.75 mata kepada 11,471.05, Indeks FBM Emas Shariah lebih kukuh 10.37 mata kepada 13,475.72 tetapi Indeks FBMT 100 Index merosot 3.70 mata kepada 11,304.28.

Indeks FBM 70 meningkat 43.02 mata kepada 14,608.36 dan FBM ACE menambah 80.47 mata kepada 8,604.35.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.46 mata kepada 141.96, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.29 mata kepada 13,316.229 dan Indeks Perladangan rugi 10.98 mata kepada 7,129.43. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )