
Pastikan keharmonian masyarakat majmuk terus terjaga – Willie Mongin
PADAWAN,. Perpaduan, sikap saling menghormati dan semangat rasa cintakan negara dalam memastikan keharmonian masyarakat majmuk serta kepelbagaian agama harus terus dipelihara, kata Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin hari ini.
“Usah mudah terpengaruh dengan pelbagai usaha yang menjurus kepada keruntuhan perpaduan serta keamanan. Jati diri dalam setiap sanubari perlu ditingkatkan sebagai tanda cintakan negara,” katanya Ahli Parlimen Puncak Borneo itu semasa berucap di Program Kembara Bermotosikal Hari Malaysia Jelajah Parlimen Puncak Borneo di sini.
Beliau berkata gejala sosial, penyalahgunaan dadah, rempit dan sebagainya yang kian membimbangkan harus dibendung dengan mengadakan aktiviti-aktiviti berfaedah dengan kerjasama semua pihak, di samping menyemai perpaduan dan meningkatkan jati diri sebagai anak Malaysia.
Konvoi julung kali diadakan itu bermula dari Pusat Khidmat Parlimen Puncak Borneo dan berakhir di kampung Skio Bau berjaya menarik seramai 120 penyertaan motosikal kuasa tinggi.
Pada majlis itu beliau turut mengumumkan peruntukan RM140,000 kepada beberapa organisasi di kampung berkenaan, antaranya RM100,000 untuk Projek Mesra Rakyat (PMR) untuk membina sistem perparitan kampung, dan RM30,000 kepada Gereja St. Edward.
— BERNAMA