Pasukan footgolf pertama Malaysia bertanding di Piala Asia

Pasukan footgolf pertama Malaysia bertanding di Piala Asia

KUALA LUMPUR,. Pasukan FootGolf pertama Malaysia bakal bertanding di Piala Asia FootGolf Yamaha 2019 di Horizons Golf Resort, Port Stephens, Australia dari 18 hingga 22 Nov ini.

Kapten pasukan lelaki kebangsaan Jeffrey Dean Abdul Daud @ Cottam dan kapten wanita Steffi Sidhu @ Sarge Kaur akan mengetuai cabaran dalam acara individu dan berpasukan menerusi kategori lelaki, wanita dan senior.


Jeffrey Dean berkata penyertaan pasukan negara di Piala Asia itu menjadi batu loncatan bagi mencapai matlamat menyertai Piala Dunia FootGolf di Jepun tahun depan.

“Ini merupakan saat yang membanggakan bagi kami, semasa kami bermula tidak lama dahulu, matlamat kami untuk menyertai Piala Dunia FootGolf.

“Oleh itu, Piala Asia ini satu permulaan dan batu loncatan bagi kami untuk mencapai matlamat tersebut. Kami menyasarkan kedudukan tiga terbaik,” katanya seperti dipetik menerusi kenyataan oleh FootGolf Malaysia, hari ini.


Menurut kenyataan itu, skuad negara bakal berentap dengan pemain handalan dari Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

FootGolf adalah kombinasi dua sukan, iaitu bola sepak dan golf yang mana peraturan permainan adalah sama seperti golf.

Objektifnya adalah untuk memastikan bola bersaiz lima, masuk ke dalam lubang (53.34 sm) dalam jumlah sepakan terendah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This