Pasukan Liga-M perlu dapatkan lesen kebangsaan, AFC

KUALA LUMPUR,. Pasukan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) perlu mendapatkan lesen kelab kebangsaan atau lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme pasukan masing-masing ke arah lebih baik.

Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John mendedahkan, kegagalan mendapatkan lesen itu bakal memberi impak kepada penyertaan sesebuah pasukan atau kelab, sama ada diturunkan beraksi di liga bawahan negara mereka, atau tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan anjuran AFC, jika layak.

Beliau menjelaskan sikap sambil lewa sesetengah pasukan yang memandang rendah lesen kelab kebangsaan atau AFC, menjadi punca persatuan bola sepak di negara masing-masing tidak meluluskan permohonan pasukan tersebut, untuk beraksi dalam saingan liga utama negara itu.

“Kalau tiada lesen, kita cuma main bola sepak amatur sahaja. Kita harapkan persatuan bola sepak kebangsaan mana-mana (ahli gabungan AFC) untuk menggunakan pelesenan kelab ini, untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan persatuan atau kelab.

“Banyak negara telahpun menaikkan tahap profesionalisme, dengan hanya menggunakan pelesenan kelab yang kita syorkan sebagai salah langkah mesti dan harus dilakukan, kalau ingin bermain bola sepak profesional,” katanya dalam temuramah ekslusif bersama Bernama di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Windsor mengakui penggunaan lesen kebangsaan mendapat sambutan dalam kalangan 47 ahli gabungannya, dengan hampir kesemua mereka telahpun melaksanakan peraturan yang mewajibkan kelab di negara masing-masing mendapatkan lesen berkenaan.

Beliau pada sama turut optimis pelaksanaan lesen kebangsaan dapat dijalankan oleh kesemua 47 ahli gabungannya, dalam beberapa tahun akan datang.

Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif baru-baru ini, mendedahkan hanya 12 pasukan Liga-M iaitu sembilan pasukan Liga Super dan tiga pasukan Liga Premier, lulus permohonan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi pada saingan Liga-M 2020.

Daripada sembilan pasukan Liga Super itu, hanya enam pasukan – Johor Darul Ta’zim, Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Terengganu – diberikan lesen AFC bagi membolehkan pasukan berkenaan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2020, sekiranya layak.

Dua pasukan iaitu Melaka dan PKNS FC, diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat, manakala permohonan kelab PKNP FC ditolak, kerana gagal melengkapkan kriteria yang diperlukan.

Bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, FAM mensyaratkan mereka perlu melepasi penilaian dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019.

Lesen Kebangsaan dan lesen AFC ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja, bagi musim 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )