Pasukan Malaysia-Perancis Seaborg johan Cabaran Memancing Laut Dalam Labuan 2023

Pasukan Malaysia-Perancis Seaborg johan Cabaran Memancing Laut Dalam Labuan 2023

LABUAN: Acara tahunan berprestij Labuan, Cabaran Memancing Laut Dalam Antarabangsa DAIWA 2023 menutup tirai semalam yang menyaksikan pasukan Malaysia-Perancis Seaborg memenangi hadiah utama wang tunai RM40,000, peralatan memancing DAIWA dan trofi.

Anggota pasukan itu yang terdiri daripada sembilan pemancing Malaysia (dari Sabah dan Labuan) serta Perancis memulakan misi pada 9 Mei ke perairan Terumbu Ubi di Laut China Selatan kira-kira 290 kilometer (km) dari sini, pulang dengan tangkapan seberat 113 kilogram (kg) pada kejohanan lima hari itu yang berakhir semalam.

Kejohanan itu merupakan satu daripada tiga acara utama Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (LISC) ke-25, anjuran Perbadanan Labuan (LC) dengan kerjasama Kelab Ekstrem GHRT dan Feel Alive.

Sebanyak 21 bot berlepas daripada Labuan Public Marina pada 9 Mei, melibatkan 213 kaki pancing tempatan, Perancis, Brunei, Australia dan Kanada.
Naib johan menjadi milik pasukan Hong Kong Ocean Blue 1 (turut melibatkan pemancing Kanada) dengan tangkapan 75 kg, manakala kumpulan kaki pancing dari Ipoh, Silibin Tackle 1 di tempat ketiga dengan tangkapan 70.20 kg.

Hong Kong Ocean Blue 1 membawa pulang RM10,000 dan Silibin Tackle 1 meraih RM5,000 selain kedua-duanya menerima peralatan memancing DAIWA dan trofi.

Pemancing tempatan Samuel Bonging daripada pasukan Seaborg mengungguli kategori khas selepas beliau menangkap kerapu seberat 77kg, sekali gus memenangi RM5,000.

Pemancing Sabah mendominasi kategori individu menerusi Goldie James yang muncul juara dengan tangkapan Dogtooth Tuna seberat 24.82kg, Pawesta Wen di tempat kedua (19.32kg Yellowfin Tuna) dan Chin Yun Ngen di tempat ketiga (16.68kg Ruby Snapper). Kesemua mereka menerima wang tunai RM500.

Semua pemenang turut membawa pulang peralatan memancing DAIWA dan trofi.

Ketua Pegawai Eksekutif LC Rithuan Ismail berkata acara antarabangsa itu akan diteruskan tahun depan dengan harapan dapat menarik lebih ramai peserta dari pelbagai negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This