Pasukan pematuhan SOP ditubuhkan, fokus cegah jenayah sepanjang PKPP – Polis

KEPALA BATAS,. Meskipun semua Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara sudah ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun polis akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata selaras dengan itu, pihaknya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan pasukan jawatankuasa pematuhan dalam menjalankan pemeriksaan SOP bermula hari ini hingga 31 Ogos.

Noorzainy berkata enam SJR di kawasan SPU ditutup sepenuhnya tepat jam 12 tengah malam tadi dan penugasan semua anggota kini tertumpu kepada usaha membendung jenayah.

“Bermula esok, semua sekatan jalan raya tiada lagi memandangkan kebenaran rentas negeri telah diberikan.

“Walau bagaimanapun sekatan jalan raya akan diadakan dalam usaha kita membendung jenayah yang berlaku dalam daerah SPU.

“Tidak semestinya dengan tertutup sekatan jalan raya tiada sekatan jalan raya. PDRM akan terus mendirikan sekatan jalan raya berdasarkan kepada sebarang maklumat berkaitan pencegahan jenayah.

“Tugas seterusnya PDRM bersama dengan tentera akan mewujudkan pasukan pematuhan SOP dan kita akan buat pemeriksaan di semua premis juga di tempat awam dalam tempoh PKPP ini dari 10 hingga 31 Ogos.

“Kerjasama di antara PDRM dan tentera akan diteruskan bagi memastikan SOP sepanjang PKPP ini dipatuhi,” kata Noorzainy.

Jelasnya, seramai 800 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi terlibat sepanjang tempoh PKPB berlangsung di daerah itu.

Ia membabitkan polis, ATM, RELA, Jabatan Kesihatan, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sepanjang operasi, 585 individu telah dikompaun manakala 558 ditahan atas pelbagai kesalahan kerana mengingkari PKPB di daerah itu.

Noorzainy berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan hari terakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Plaza Tol Bertam, di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Sementara itu, Pegawai Memerintah 19 Rejimen Askar Melayu (RMAD) (Mekanize), Leftenan Kolonel Azmi Abdul Rahim berkata ATM sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan sepanjang PKPP dilaksanakan.

Beliau berkata ATM dan polis telah bekerjasama rapat dalam Ops Penawar dan COVID-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )