Patah Kaki Namun Tak Patah Semangat, Calon Jeram Padang Akan Terus Berkempen

Patah Kaki Namun Tak Patah Semangat, Calon Jeram Padang Akan Terus Berkempen

JEMPOL, 31 Julai (Bernama) — Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang patah kaki kiri selepas terlibat dalam kemalangan awal pagi tadi tetap meneruskan kempennya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Mohd Zaidy berkata selepas dibenarkan keluar dari hospital nanti, beliau akan kembali bertemu rakyat secara bersemuka bagi memastikan misi kemenangan kerusi tersebut.

“Pesanan saya kepada jentera BN di DUN Jeram Padang usah khuatir tentang diri saya, saya berada dalam keadaan yang stabil saat ini, teruskan bekerja, ikut strategi yang telah disusun untuk memastikan DUN ini kekal milik BN,” katanya ketika ditemui di Hospital Jempol hari ini.

Beliau turut meminta jentera parti memberikannya sedikit masa dan ruang untuk berehat sebelum meneruskan jadual kempen seperti biasa, selain akan turun padang menggunakan kerusi roda ditemani isterinya.

Mohd Zaidy turut mendoakan kesihatan pembantunya Muhammad Khairul Ahnaf Baharom yang sedang dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab dalam kenyataan berkata kenderaan jenis Ford Ranger dipandu Mohd Zaidy dengan ditemani pembantunya itu dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan dari Bahau ke Palong melalui Jalan Pasir Besar kira-kira 3 pagi tadi.

Mohd Zaidy berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri S. Surash pada PRN 12 Ogos ini.

Dalam pada itu, Surash dalam hantaran menerusi Facebooknya berkata beliau bergegas ke Hospital Jempol untuk melawat Mohd Zaidy selepas melakukan tinjauan mesra di Felda Palong 1 tengah hari tadi.

“Saya memberikan kata-kata semangat buat Datuk Mohd Zaidy agar cepat sembuh dan kembali berkempen. Walaupun kami berbeza parti politik, persahabatan kami tetap utuh,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )