PATI Cuba Seludup Barang Ke Filipina Gagal

SEMPORNA,. Cubaan dua lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup keluar pelbagai barang termasuk kategori bersubsidi gagal, selepas jongkong dinaiki dipintas Pasukan Gerakan Am (PGA), di perairan Pulau Mataking Kecil, dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Superintenden Mohd. Yacob Murad berkata, dalam kejadian pukul 11.15 pagi itu, pihaknya turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 33 dan 63 tahun di dalam jongkong tersebut.

“Terdahulu sepasukan pegawai dan anggota PGA diketuai Asisten Superitenden G Shankar Ganesh melancarkan Op Benteng Covid di Kompeni Taktikal (KOMTAK) Pulau Mataking.

“Ketika rondaan dilakukan di Utara Pulau Mataking Kecil, pasukan bertugas berjaya mengesan sebuah bot jongkong sedang menuju ke arah sempadan perairan Filipina,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambah Mohd. Yacob, juragan jongkong dilihat cuba melarikan diri dengan memecut menuju ke sempadan perairan antarabangsa bagi mengelak ditangkap, namun gagal.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas dua lelaki itu, mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan lanjut berjaya menemukan 1,530 kilogram (kg) minyak masak paket, termos (54 botol), minyak petrol (29 jerikin) dan racun rumput (15 jerikin),” katanya.

Difahamkan, suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pembelian termasuk kebenaran memiliki barangan bersubsidi seperti minyak masak dan petrol.

Menurut Mohd Yacob, pihaknya turut merampas jongkong, dua enjin dan empat tangki minyak petrol dengan anggaran keseluruhan rampasan mencecah RM41,369.

“Semua barangan tersebut dan suspek dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya. – BorneoToday

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )