Pavilion SayD’Signers bakal jadi sorotan penting Minggu Reka Bentuk Sarawak

Pavilion SayD’Signers bakal jadi sorotan penting Minggu Reka Bentuk Sarawak

KUCHING,. Pavilion (ruang pameran) SayD’Signers bakal menjadi sorotan penting Minggu Reka Bentuk Sarawak (#SDW2023), yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 13 hingga 16 Februari ini.

Terletak di tengah dewan pameran utama ‘The SayD’Signers Pavilion’ akan mempamerkan perabot hasil rekaan 32 pereka muda dari Kumpulan 1 hingga 4 program SayD’Signers Sarawak.

“Pavilion SayD’Signers disediakan khas bagi mempamerkan reka bentuk perabot yang sangat unik hasil ciptaan pereka-pereka muda berbakat daripada program The SayD’Signers.

“Pengunjung akan berpeluang melihat sendiri keunikan reka bentuk perabot ciptaan mereka ini dan mendapat lebih banyak maklumat dengan mudah, iaitu dengan hanya mengimbas kod QR pada setiap perabot yang dipamerkan di pavilion ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Reka Bentuk Sarawak (SARADEC) Dayang Nena Abang Bruce dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua 32 SayD’Signers juga akan ada di palivion tersebut bagi memberi lebih banyak maklumat kepada orang ramai mengenai hasil rekaan mereka dan mungkin menjawab segala pertanyaan daripada pengunjung ke acara julung kali diadakan itu.

Dengan kurang dua minggu lagi penganjuran pertamanya, #SDW2023 akan mempamerkan semua reka bentuk dan menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang empat hari acara berlangsung.

Dilihat sebagai ekspo diterajui reka bentuk buatan sendiri yang pertama di Malaysia, #SDW2023 akan menghimpunkan beberapa idea yang sangat kreatif serta inovatif dalam industri reka bentuk bagi mempamerkan trend terkini serta teknologi-teknologi dalam seni bina, fesyen, reka bentuk grafik dan banyak lagi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan #SDW2023 di BCCK pada 13 Februari ini.

#SDW2023 dianjurkan oleh SARADEC dan Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia.

Ia disokong Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTPC) Sarawak serta Kementeria Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan serta Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

Manakala rakan-rakan strategik #SDW2023 ialah Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA), Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Yayasan Tun Jugah, CENTEXS Commercial, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej Komuniti, Ran & Nong Creations, Dr Dorothy & Group serta penglibatan daripada sektor ekonomi, perdagangan dan pelancongan.

Orang ramai boleh melayari sarawakdesignweek.com untuk mendapat keterangan lebih lanjut.

CATEGORIES
TAGS
Share This