
PBB, UNHCR harus bertindak selesai punca sebenar isu pelarian Rohingya – MCA
KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) seharusnya ‘bangun’ bertindak dan membantu menyelesaikan punca sebenar isu pelarian Rohingya.
Pengerusi Biro Komunikasi Antarabangsa dan Diplomasi MCA Dr Tee Ching Seng berkata justeru itu, setiap pertubuhan hak asasi manusia tidak wajar menggunakan pelbagai hujah kemanusiaan dengan meletakkan tanggungjawab kepada negara-negara destinasi yang dituju golongan pelarian tersebut.
Katanya tiada negara berupaya menghulurkan bantuan secara berterusan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
Malah masalah pelarian Rohingya yang melibatkan konflik perkauman di negara asal adalah di luar kemampuan Malaysia untuk menanganinya, menurut beliau dalam kenyataan malam ini.
“PBB wajar membantu kerajaan Bangladesh meningkatkan kemudahan serta keselamatan tempat perlindungan untuk orang Rohingya yang berjumlah lebih sejuta (orang) di Cox’s Bazaar di samping bertindak tegas terhadap penyeludup manusia.
Jika PBB berpendapat harapan untuk Rohingya kembali ke Myanmar adalah tidak cerah, maka ia perlu menempatkan mereka secara berperingkat di beberapa negara maju serta negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, katanya.
“PBB serta kerajaan Myanmar mestilah merumuskan bersama satu pelan komprehensif ‘menang-menang’ yang berkesan untuk Rohingya ini kembali ke Myanmar apabila keselamatan diri dijamin oleh PBB.
“Pelarian-pelarian ini berhak pulang mengikut kemahuan sendiri dan PBB juga perlu membantu kerajaan Myanmar agar mereka ini sekurang-kurangnya mempunyai kerja nanti,” katanya.
Isu pelarian Rohingya menjadi perbualan hangat di Malaysia apabila sebuah pertubuhan yang mendakwa mewakili golongan itu yang berjumlah 200,000 orang di negara ini dikatakan mendesak hak-hak tertentu diberikan kepada mereka termasuk kewarganegaraan.
Selain itu dalam tempoh penularan wabak COVID-19, ramai pelarian Rohingya dilihat cuba menyeludup masuk ke Malaysia.
Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia berjaya menghalang sebuah bot yang membawa 200 pelarian Rohingya daripada memasuki negara ini pada 17 April lepas.
— BERNAMA