PBB wujud sayap baharu untuk golongan belia – Abang Johari

PBB wujud sayap baharu untuk golongan belia – Abang Johari

KUCHING,. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan meminda perlembagaan parti itu bagi mewujudkan sayap baharu buat golongan belia berumur 18 hingga 28 tahun.

Presiden PBB yang juga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan sayap itu dibuat bagi memberi peluang kepada golongan tersebut untuk bersama-sama berkhidmat kepada kesejahteraan negeri Sarawak.

“Buat masa ini PBB ada sayap wanita serta pemuda…sekarang ini kita akan wujudkan satu sayap buat golongan belia 18 hingga 28 tahun. Kita wujudkan sayap ini kerana kita mahu mereka sama-sama menguruskan masyarakat bersama kita.

“PBB adalah parti yang dinamik, kita juga mendengar aspirasi golongan muda dan kita akan sesuaikan kepada keadaan politik semasa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di sini malam tadi.

Abang Johari berkata pindaan perlembagaan itu akan dilakukan pada Mesyuarat Agung Triennial (TGM) parti yang dijadual diadakan Jun depan.

“Sekarang ini kita sudah tubuhkan jawatankuasa untuk meneliti cadangan penubuhan sayap itu dan kita akan pinda perlembagaan pada TGM nanti,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This