PBS perlu aktif tarik lebih ramai golongan muda sertai parti – Ongkili

PBS perlu aktif tarik lebih ramai golongan muda sertai parti – Ongkili

KOTA KINABALU,. Parti Bersatu Sabah (PBS) perlu bergiat aktif menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai dan bersama-sama parti itu memperjuangkan misi dan visinya, kata Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata pemimpin parti sedia ada tidak seharusnya berasa takut atau terancam dengan penglibatan golongan muda dalam parti itu, sebaliknya mereka perlu dilatih dan dipimpin agar mengenali dan memahami asas perjuangan PBS.

“Saya merasakan PBS akan bertambah mantap dengan penglibatan darah muda dalam perjuangan kita. Sebarkan berita baik mengenai PBS dan laungkan keistimewaan parti kita yang berbeza daripada parti-parti lain di Malaysia, kerana perbezaan itu adalah aset kita.

“Marilah bergerak ke hadapan bersama, agar Sabah terus maju jaya… bersatulah kita untuk Sabah tanah airku,” katanya dalam ucapan dasar presiden sempena persidangan perwakilan tahunan PBS kali ke-36 dan ke-37 di Dewan Hakka di sini semalam.

Mengenai pemilihan PBS pada tahun ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu berkata 164 ahli parti akan bertanding bagi jawatan-jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Exco, sama ada di peringkat Induk, Wanita dan Pemuda.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu mengingatkan ahli yang dipilih perwakilan agar bertanggungjawab dengan jawatan yang diberikan, dengan menggalas tugas dengan penuh dedikasi, adil dan saksama.

“Jangan wujudkan perbalahan di antara pihak yang menang dan kalah. Kita perlu terima apa saja keputusan yang telah dibuat oleh pihak perwakilan, kerana undi itu suara majoriti dari akar umbi,” katanya.

Menurutnya PBS yang telah wujud lebih 30 tahun lalu, memerlukan barisan kepimpinan yang berwibawa, bersih dan komited dengan misi mengekalkan kedudukan parti itu agar kekal relevan sepanjang masa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This