PBSNT minta Faisal Halim hantar surat rasmi kepada TFCSB

PBSNT minta Faisal Halim hantar surat rasmi kepada TFCSB

KUALA TERENGGANU,. Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) meminta bekas pemain Terengganu FC (TFC) Faisal Halim menghantar surat rasmi kepada Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) bagi menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua pihak berkenaan.

Ia susulan kenyataan pemain kebangsaan itu yang mendakwa bahawa gaji terakhir beliau dipotong tanpa mengikut prosedur atau sebarang amaran daripada pihak pengurusan TFCSB.

Menteri Besar Terengganu yang juga Presiden PBSNT Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu melibatkan pihak lain termasuk media.

“Beliau (Faisal) boleh merayu… tidak ada masalah. Kita boleh bincang, mungkin ada sedikit salah faham,” katanya selepas Kongres Tahunan PBSNT 2022 di sini, semalam.

Bagaimanapun Ahmad Samsuri membidas tindakan Faisal yang sering membuat kenyataan berunsur kontroversi kepada media dan hantaran berbaur tohmahan di media sosial bagi meluahkan rasa tidak puas hati kepada pihak pengurusan TFCSB.

Katanya tindakan itu menyalahi peraturan kelab yang melarang pemain membuat kenyataan terbuka kepada media atas sesuatu isu ketika masih bersama pasukan.

“Kita mahu selesai secara baik, cuma kena sedar yang salah tetap salah. Setakat ini perkara tersebut tidak memberi impak kepada reputasi kelab,” katanya.

Konflik antara pemain berusia 24 tahun kelahiran Pulau Pinang itu dengan TFCSB bermula apabila Faisal secara terang-terangan mengkritik tahap profesional kelab tersebut yang lambat menawarkan lanjutan kontrak kepada bekas ketua jurulatih TFC Nafuzi Zain yang akhirnya menolak tawaran itu.

Faisal yang ketika itu masih terikat dengan kontrak mendakwa kelewatan pihak pengurusan menyebabkan beliau tidak dapat bekerja dengan Nafuzi bagi musim 2023.

Terbaru, Faisal mendakwa beliau dianiaya pihak pengurusan TFCSB yang memotong gaji terakhirnya sebanyak 15 peratus tanpa makluman atau arahan untuk mengemukakan surat tunjuk sebab sebagaimana prosedur biasa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This