PCS tolak kerjasama dengan BN dalam PRN Sabah – Anifah

PCS tolak kerjasama dengan BN dalam PRN Sabah – Anifah

KOTA KINABALU, 24 Ogos — Parti Cinta Sabah (PCS) tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bulan depan.

Presiden PCS Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan hari ini berkata, PCS tetap dengan dasar perjuangan parti itu, yang tidak berpakat dan bergabung dengan mana-mana parti dalam PRN akan datang.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memikirkan dan menginginkan PCS, namun kami tetap dengan pendirian kami.

“Kami tidak berpakat dan bergabung dengan mana-mana parti untuk tujuan PRN dan akan bertanding sebanyak mana kerusi, untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, rundingan mengenai agihan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, diadakan bersama beberapa parti lain.

Ia termasuk Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), STAR, Parti Bersatu Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This