PDRM tumpas sindiket seludup rokok, minuman keras bernilai lebih RM36 juta

PDRM tumpas sindiket seludup rokok, minuman keras bernilai lebih RM36 juta

KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam berjumlah lebih RM36 juta menerusi tiga serbuan di Kajang, 7 September lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Hazani Ghazali berkata risikan oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar, Perisikan Siasatan Khas bersama Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Cheras itu turut membongkar dua makmal haram memproses arak tiruan.

Beliau berkata hasil serbuan itu, polis menahan 10 lelaki terdiri daripada lima rakyat tempatan dan lima warga asing, selain merampas 73,800 karton rokok pelbagai jenis dan 24,573 kotak minuman keras tidak bercukai kastam bernilai lebih RM36 juta termasuk nilai cukai.

“Selain itu, turut dirampas peralatan dan mesin memproses minuman keras serta tiga kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM395,575 manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM36,478,585.

“Kesemua suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga semalam, PDRM menahan 3,764 individu serta merampas pelbagai barangan seperti ubat palsu, barang tidak bercukai kastam, haiwan dan hidupan liar bernilai lebih RM726 juta.

Katanya kejayaan itu diraih PDRM menerusi tiga operasi iaitu Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah.

“PDRM sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewangan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi.

“Operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain akan diteruskan dan kerjasama orang ramai dalam penyaluran maklumat kepada polis juga amat digalakkan untuk membanteras sepenuhnya kegiatan jenayah ini,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This