Pekerja Malaysia di Singapura dibenar kembali ke Johor dengan syarat

JOHOR BAHRU,. Rakyat Malaysia yang memiliki permit kerja di Singapura dibenarkan untuk kembali ke Johor dengan syarat perlu menjalani ujian kapas kesat (swab test) di klinik atau hospital di republik itu bagi mengesahkan bebas daripada COVID-19.

Susulan penetapan arahan terbaharu itu, Jabatan Imigresen Johor berkata surat pengesahan bebas gejala COVID-19 oleh klinik atau hospital di Singapura seperti yang ditetapkan sebelum ini adalah tidak terpakai.

Menurut jabatan itu, warganegara atau Penduduk Tetap Malaysia yang berada di Singapura dibenarkan masuk ke Malaysia dan tertakluk kepada peraturan serta prosedur itu yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan.

Jabatan Imigresen Johor memaklumkan arahan terbaharu itu menerusi soalan lazim berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dimuat naik dalam laman Facebook jabatan itu, hari ini.

Warganegara Malaysia tidak dibenarkan untuk keluar ke Singapura sehingga tamat tempoh PKP dan hanya warganegara Singapura yang memegang taraf Penduduk Tetap Malaysia sahaja dibenarkan untuk pulang ke Singapura serta hanya dibenarkan kembali semula ke Malaysia selepas tamat tempoh PKP.

“Warganegara Malaysia bertaraf Penduduk Tetap Singapura yang telah pergi ke Singapura dalam tempoh PKP tidak dibenarkan untuk kembali ke Malaysia sehingga tamat tempoh PKP.

“Bagaimanapun, sekiranya anda keluar sebelum tempoh PKP, anda dibenarkan untuk kembali ke Malaysia dan hanya dibenarkan pergi semula ke Singapura selepas tamat tempoh PKP,” menurut jabatan itu.

Bagi warganegara Malaysia yang memiliki permit kerja di Singapura dan pertama kali dipanggil majikan untuk bertugas, mereka dibenarkan ke Singapura dengan syarat perlu mengemukakan salinan surat Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura kepada pegawai imigresen bertugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar atau Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.

Selain itu, perlu mengemukakan surat majikan dan kesanggupan majikan untuk menyediakan makan, minum serta tempat tinggal sepanjang tempoh PKP di Malaysia yang berakhir 14 April ini.

Pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang Malaysia yang memegang Pas Pelajar dan Pas Mengiringi Pelajar/Pas Isteri atau Suami kepada Penduduk Tetap Malaysia/pemegang Pas Malaysia My Second Home (MM2H)/pemegang Pas Penggajian dan Pas Tanggungan, pemegang Pas Residen, pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tidak dibenarkan masuk ke Malaysia sehingga tamat tempoh PKP namun, pemegang pas tersebut dibenarkan keluar sepanjang tempoh PKP.

Bagi kes-kes kecemasan, Jabatan Imigresen akan memberi pertimbangan berdasarkan kes dan sekiranya terdapat persoalan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pejabat Operasi BSI di talian 07-2182400, Pejabat Operasi KSAB di 07-5133040 serta Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN)Johor di 07-290 8007/8008.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )