Pekerja terkandas di Semenanjung kini boleh balik Sabah

Pekerja terkandas di Semenanjung kini boleh balik Sabah

KOTA KINABALU,. Pekerja-pekerja Sabah yang terkandas di Semenanjung Malaysia akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kini boleh balik ke negeri ini.

Presiden Persatuan Kesihatan dan Spa Malaysia (MAWSPA) Dorothea Justin berkata, pengumuman oleh Kerajaan Sabah membenarkan semua perjalanan memasuki ke Sabah sama ada melalui udara, darat dan laut oleh penjawat awam, pekerja sektor swasta yang berada di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan sangat dialu-alukan.

Katanya, pengumuman itu adalah satu berita baik memandangkan ramai pekerja khususnya kakitangan pusat kesihatan dan spa di Semenanjung Malaysia tidak dapat pulang ke Sabah sebelum ini.

“Hampir 1,000 pekerja ini terkandas di merata tempat di negeri-negeri Semenanjung Malaysia dan kita tidak tahu sama ada majikan mereka menjaga kebajikan setiap pekerja dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Ramai orang Sabah yang bekerja dalam industri kesihatan dan spa bekerja di Bukit Bintang, Johor, Pulau Pinang dan banyak tempat lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, pengumuman itu juga akan membantu dalam usaha mempromosi industri pelancongan domestik dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Katanya, kebenaran itu juga melegakan pergerakan diantara negeri khususnya para pekerja dari Sabah.

CATEGORIES
TAGS
Share This