Pelabuhan Kelang, Pulau Pinang dan Johor dapat pelepasan untuk pemindahan barangan tidak penting

Pelabuhan Kelang, Pulau Pinang dan Johor dapat pelepasan untuk pemindahan barangan tidak penting

KUALA LUMPUR, 26 Mac — Kementerian Pengangkutan memberi pengecualian khas kepada Pelabuhan Klang, Pulau Pinang dan Johor untuk untuk memindahkan barangan yang bukan keperluan asas (non essential) untuk dialihkan ke gudang-gudang bagi sementara waktu di luar pelabuhan agar memberi ruang supaya pemindahan barangan keperluan (essential goods) dapat dibuat serta-merta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pelabuhan-pelabuhan itu akan mengadakan tindakan susulan dengan segera supaya tidak berlaku kesesakan di gudang-gudang sekitar pelabuhan tersebut.

“Pada ketika ini, ruang kapasiti di Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang telah mencecah hampir 100 peratus berikutan pemberhentian pemindahan barangan ke gudang simpanan sebelum dihantar ke destinasi akhir,” katanya.

Wee berkata perkara itu perlu diselesaikan segera supaya tidak timbul kesesakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila barangan keperluan asas yang diimport mulai masuk.

Syarikat pengangkutan yang membawa barangan diberi kebenaran untuk kerja-kerja pemindahan selama 24 jam sehari antara 27 Mac, 2020 dan 29 Mac, 2020, katanya.

Beliau berkata bagi memastikan semua urusan transit dan penghantaran semua barangan, termasuk barangan keperluan dan barangan bukan keperluan berjalan lancar dalam tempoh PKP itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membenarkan kenderaan pengangkut barangan ini bergerak di jalan raya menuju ke destinasi akhir mereka antara 27 Mac dan h 29 Mac.

“Kenderaan-kenderaan yang membawa muatan barangan ini hendaklah mematuhi syarat-syarat sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kenyataan media oleh Majlis Keselamatan Negara bertarikh 18 Mac, 2020.

“Aktiviti eksport perlu diteruskan kerana ianya sangat penting bagi memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan negara yang memerlukan barangan penting dari Malaysia juga mendapat manfaat sepenuhnya,” kata Wee.

Menurutnya sektor pengangkutan begitu penting ketika PKP dan ia memainkan peranan utama bagi memastikan setiap isi rumah dapat mengakses keperluan harian mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This