Pelajar Malaysia dievakuasi ke Jakarta kerana masih mohon KITAS

JAKARTA,. Pelajar Malaysia di Riau yang dievakuasi ke Jakarta adalah kerana masih dalam proses permohonan berkaitan visa pelajar atau KITAS (Kartu Izin Tinggal Terbatas).

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar berkata jumlah pelajar yang akan dievakuasi ke Jakarta, berdasarkan data ketika ini ialah seramai 35 pelajar tiba di Jakarta 6.45 petang ini (7.45 waktu Malaysia), dengan pesawat Batik Air, manakala 18 lagi dijadualkan ke Jakarta pada esok.

“Mereka akan ditempatkan di Malaysia Hall sehingga keadaan jerebu di Riau kembali pulih,” katanya.

Beliau berkata semua pelajar terbabit akan diberikan bantuan penginapan dan keperluan harian daripada kedutaan serta bantuan daripada syarikat-syarikat Malaysia di Indonesia.

Hari ini, seramai 113 pelajar telah dievakuasi iaitu melibatkan kumpulan pertama seramai 47 pelajar ke Kuala Lumpur (tiba jam 12.50 tengah hari tadi), kumpulan kedua (31 pelajar ke Kuala Lumpur tiba jam 6 petang) dan 35 pelajar ke Jakarta.

Menurut Pengarah Education Malaysia di Indonesia, Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun, yang ketika ini berada di Pekanbaru, berkata ketika ini pelajar Malaysia di Jambi juga dalam perjalanan ke Pekanbaru dengan menaiki bas, dan mereka akan dievakuasi ke Jakarta dan Kuala Lumpur pada esok.

“Mereka dijangka tiba jam 5 pagi esok di Pekanbaru (dari Jambi), sebelum urusan evakuasi ke Kuala Lumpur atau Jakarta, seramai 18 dijadualkan ke Jakarta, manakala 38 lagi ke Kuala Lumpur, ” katanya.

Sementara itu, terdapat 95 pelajar dilaporkan tidak mahu dievakuasi dan memilih kekal berada di Riau.

“Saya nasihatkan pelajar terbabit, dievakuasi atau keluar dari Riau seperti disarankan kerajaan Malaysia,” kata Zainal Abidin.

Gabernor Riau, Syamsuar mengisytiharkan provinsi itu berstatus darurat jerebu berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah melebihi 500, sehingga mencecah bacaan 700.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )