Pelajar Mendaki Bukit Untuk Akses Internet’ – Guru Sk Gana

Pelajar Mendaki Bukit Untuk Akses Internet’ – Guru Sk Gana

Oleh SURAIDAH ROSLAN

PAPAR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah memaksa semua guru dan pelajar akur dengan pembelajaran dalam norma baharu. Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdPR) secara online bukan pilihan yang tepat untuk guru dan pelajar di kawasan pedalaman dan luar bandar di Sabah.

LESTER BARINTANG

Pengajaran secara online juga bukan pilihan utama bagi guru yang mengajar tidak jauh dari pusat bandaraya. Bagi Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gana, Papar, Lester Barintang, 39, mengajar secara online adalah cabaran terbesar bagi guru-guru di sekolah yang terletak hanya 40 minit pemanduan dari Bandaraya Kota Kinabalu ini.

Katanya, walaupun sekolah itu berada di tepi laluan utama Lebuh Raya Pan Borneo namun, sehingga sekarang rangkaian telekomunikasi di sekolah itu masih sama seperti lebih 30 tahun lalu. Lester yang juga Penolong Kanan Pentadbiran SK Gana ini berkata, bukan hanya kawasan sekolah tiada rangkaian telekomunikasi, kampung sekitarnya juga turut berdepan masalah sama.

Kini, dengan pelaksanaan PdPR secara online, kebanyakan pelajar sekolah itu tidak dapat mengikuti sesi pengajaran kerana masalah rangkaian telekomunikasi dan internet di kampung mereka.

Laluan pelajar mendapatkan liputan internet di Kampung Gana.

Katanya, pelajar di sekolah itu bukan hanya dari Kampung Gana tetapi juga dari Kg Manggis dan Kg Marahang yang turut berdepan dengan masalah internet. Malah, ada antara pelajar terpaksa mendaki bukit bagi mendapatkan liputan internet untuk mengikuti sesi PdPR.

Atas sebab itu, untuk memastikan pelajar tidak jauh ketinggalan dari segi pelajaran, penyediaan modul secara manual akan dilakukan.

“Untuk sesi PdPR, guru-guru sekolah ini mengambil dua pendekatan iaitu mengajar secara online bagi pelajar yang mempunyai akses internet dan menyediakan modul yang telah difotostat untuk diambil oleh pelajar di sekolah.

Ryan Shane Ronny, 10, dari SK Gana (kiri) bersama tiga sepupunya mendapatkan liputan internet di bukit belakang rumah mereka di Kampung Gana.

“Apabila pengajaran dibuat secara online, sekiranya ada 20 pelajar dalam satu kelas, tidak sampai separuh yang mengambil bahagian kerana masalah akses internet. “Maka, guru perlu menyediakan modul secara manual. Kami kena terima hakikat bahawa inilah masalah yang dihadapi di murid di sini.

“Hanya di sekolah ada liputan internet. Namun untuk membuat panggilan telefon, kami terpaksa menggunakan Whatsapp call kerana di sekolah juga tiada rangkaian telekomunikasi,” jelasnya. Katanya, ada juga guru yang mengambil pendekatan menghantar modul sehingga ke rumah pelajar kerana tidak dapat menerima arahan daripada guru disebabkan tiada liputan internet.

“Ini atas inisiatif sendiri. Kami terpaksa menghantar modul pengajaran ke rumah murid yang langsung tidak memberi respon sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Kami tidak boleh hanya menunggu pelajar datang ke sekolah kerana itu akan menyebabkan mereka jauh ketinggalan dari segi pembelajaran,” jelasnya.

Lester berkata, mereka bukan sekadar menghantar modul kepada pelajar malah, mereka juga kena datang semula bagi mengambilnya bagi memastikan kerja sekolah yang diberikan disiapkan. Beliau meletak harapan yang tinggi agar pelajar itu sendiri yang menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru-guru.

Katanya, beliau mengajar di sekolah itu sejak empat tahun lalu.

JEFFREY JOSEPH

Turut berdepan dengan masalah liputan internet bagi proses PdPR secara online adalah Jeffrey Joseph, 41, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, Penampang. Katanya, liputan internet adalah cabaran utama bagi guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman sepertinya.

Walaupun Penampang hanya berada dipinggir Pusat Bandaraya Kota Kinabalu tapi ia bukan jaminan untuk sekolah di situ mempunyai liputan telekomunikasi dan internet yang baik. Jeffrey berkata, beliau mempunyai enam pelajar dan jika pengajaran dibuat secara online hanya empat orang yang memberi respon.

“Bukan bermakna pelajar lain tidak memberi respon tapi disebabkan masalah internet mereka tidak dapat menghantar kerja sekolah yang diberikan. Namun, bila sekolah dibuka, mereka memang menghantar kerja yang telah disiapkan.

“Biasanya pelajar memberi alasan tiada internet dan kredit telefon. Inilah realiti yang terpaksa ditelan bila mengajar di pedalaman,” jelasnya. Untuk PKP kali ini, beliau masuk ke sekolah tiga kali seminggu namun, jika cuaca hujan, beliau akan berada di sekolah itu sepanjang minggu tersebut.

Jeffrey mula mengajar di SK Buayan sejak 2015. Beliau memilih sekolah itu atas kerelaannya untuk berpindah ke sekolah di pedalaman. Sebelum ini, beliau mengajar di SK Bahang, Penampang. katanya, walau terpaksa meredah kawasan hutan dan tanah merah selama tiga jam menaiki motosikal namun, beliau gembira dapat mengajar anak-anak di sekolah berkenaan.

“Sekiranya musim hujan, jalan tidak begitu baik maka, saya kena berjalan kaki selama 2 hingga 3 jam perjalanan. “Biarpun laluan ke sekolah agak sukar tapi saya selesa mengajar di kampung. Jiwa saya lebih gemar mengajar di kawasan kampung,” ujarnya. Namun, keputusannya berpindah ke SK Buayan tidak mendapat respon baik daripada isterinya.

ESTHER DUNGIN

Esther Dungin, 37, berkata, masa mula-mula mengetahui suaminya memilih untuk mengajar di SK Buayan, dia agak geram kerana ketika itu tiga anaknya masih kecil. “Bayangkan setiap pagi, saya kena menguruskan tiga anak sekaligus. Sejak kami berpindah ke rumah sendiri, kami tidak mengupah pembantu rumah. Jadi, saya kena menguruskan anak dan kemudian turun ke tempat kerja,” ujarnya.

Tetapi lama-kelamaan apabila suamninya membawa mereka anak-beranak melawat sendiri sekolah itu, Esther boleh menerima keputusan suaminya memilih mengajar di situ. Katanya, pertama kali ke SK Buayan, mereka berjalan kaki selama lima jam bermula 7.30 pagi.

Walaupun anak-anak mereka mengadu kepenatan tetapi, mereka tetap meneruskan perjalanan. Jadi, terpaksa berhenti beberapa kali untuk berehat. Atas sebab itu perjalanan mengambil masa yang lama. Tetatpi, apabila tiba di sekolah itu, pemandangan yang begitu cantik membuatkan kepenatan berjalan selama lima jam terus terasa hilang.

Source : https://www.borneotoday.net/pelajar-mendaki-bukit-untuk-akses-internet-guru-sk-gana/

-DG

CATEGORIES
TAGS
Share This