Pelajar tingkatan empat disyaki ditekup bantal hingga mati oleh kekasih

Pelajar tingkatan empat disyaki ditekup bantal hingga mati oleh kekasih

KLANG,. Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mati dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya di rumah lelaki itu di Kampung Idaman, Pandamaran, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 3.40 pagi yang memaklumkan terdapat seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.

“Pada jam 2 pagi semalam, suspek membawa mangsa ke bilik rumahnya, kemudian berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai telah menyebabkan kematian mangsa. Suspek kemudian telah mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah.

“Kemudian suspek meminta bantuan daripada ahli keluarganya yang sedang tidur di dalam rumah tersebut. Ahli keluarga kemudian menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian itu dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, di sini, hari ini.

Katanya, suspek berusia 24 tahun itu dan mangsa, pelajar Tingkatan Empat, sudah berkenalan selama setahun serta hubungan mereka diketahui keluarga masing-masing, selain mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya.

Cha berkata hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher.

“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup,” katanya.

Beliau berkata suspek, yang tiada rekod lampau, ditangkap di lokasi kejadian dan kini direman sehingga 3 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )