Pelajar UPSI Pendebat Terbaik siri pertama Debaton Parlimen 2019

Pelajar UPSI Pendebat Terbaik siri pertama Debaton Parlimen 2019

KUALA LUMPUR,. Pelajar jurusan psikologi, Dusha Nanthakumar dinobatkan Pendebat Terbaik bagi siri pertama Debaton Parlimen 2019 (Belia) di sini malam ini.

Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris daripada barisan pembangkang itu mengetepikan 45 peserta lain dengan mendapat 1,257 undian dalam talian.

Dusha, 22, menerima hadiah berupa langganan berita percuma seumur hidup dari Malaysiakini.

Program malam ini menyaksikan seramai 46 belia Malaysia membahaskan usul melibatkan masa depan pekerja prekariat di negara ini, bertajuk “Pekerja Prekariat dalam Ekonomi Gig”.

Debat itu dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang turut merasmikan program berkenaan.

Malam ini menyaksikan pendebat-pendebat berusia antara 16 dan 25 tahun membawa hujah-hujah konkrit bagi meyakinkan para hadirin sebelum mereka mengundi untuk menyokong atau membangkang usul yang dibawa.

Usul malam ini membincangkan tentang keperluan kerajaan membaik pulih undang-undang pekerjaan yang sedia ada bagi melindungi dan menegakkan hak pekerja kontrak yang semakin berkembang.

Debat malam ini merupakan sesi pertama daripada tiga sesi Debaton Parlimen 2019 (Belia) yang dianjurkan oleh Malaysiakini dan Parlimen Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Program ini diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Parlimen Malaysia dan ulang tahun ke-20 Malaysiakini, bertujuan membantu belia negara untuk lebih bersedia pada masa depan selain menjadi celik politik.

Antara objektifnya adalah untuk memberi peluang kepada para peserta untuk menyatakan pendapat mereka, untuk menggalakkan belia berfikir secara kritikal dan membincangkan dasar-dasar yang akan memberi kesan kepada golongan muda hari ini.

Program ini seterusnya bakal menyaksikan dua lagi usul yang akan dibahaskan oleh belia Malaysia antara Oktober dan Disember iaitu “Keselamatan Siber dan Privasi” di kampus Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan “Mengembalikan Kedudukan Sabah dan Sarawak” yang akan diadakan di Universiti Malaysia Sabah.

Sementara itu, Mohamad Ariff dalam ulasannya berkata kualiti pendebat malam ini setanding ahli parlimen dan sangat memuaskan.

“Negara akan cepat membangunkan mempunyai belia yang berani ke depan menyuarakan pandangan mereka untuk mengambil bahagian dalam pembangunan negara,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This