Pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei

Pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei

KUALA LUMPUR,. Kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini, umum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata perkara itu akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Bagi syarikat-syarikat mikro yang mempunyai kurang pekerja dan kurang pendapatan, Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M. Saravanan) akan berbincang dengan Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) mohon agar tangguhkan dulu (penguatkuasaan) kepada syarikat-syarikat kecil ini,” katanya.

Ismail mengumumkan perkara itu ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020.

Dalam sesi sama, Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa cadangan Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak akan lagi dibentangkan di Parlimen.

Mengambil kira pandangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO, maka kadar kompaun yang terkandung dalam akta berkenaan akan dikekalkan, katanya.

“(Di bawah) Akta 342 (mengenai) kawalan penyakit berjangkit, iaitu denda RM10,000 untuk individu langgar SOP (prosedur operasi standard) dan RM50,000 untuk syarikat, akta tersebut tidak akan dibawa ke Parlimen dan akta lama akan dikekalkan dengan denda RM1,000,” kata Ismail Sabri.

Bacaan kali pertama pindaan Akta 342 dibentang oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Disember tahun lepas, antara lain bagi menaikkan kadar kompaun kepada individu yang melanggar SOP daripada RM1,000 kepada RM10,000 manakala bagi syarikat kepada RM50,000.

Bacaan kali kedua rang undang-undang itu sepatutnya dibentang pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, yang bersidang sehingga 24 Mac.

Selain itu, Ismail Sabri menekankan mengenai pembelaan terhadap golongan wanita termasuk kes mahkamah yang dimenangi kaum hawa dalam kes tuntutan nafkah.

“Kita telah buat keputusan supaya bank membekukan akaun-akaun bekas suami yang tidak membayar nafkah. Selepas keputusan diperoleh, bank akan membuat potongan terus daripada akaun bekas suami. Jika kadarnya RM1,000 misalnya, bank akan terus potong dan bayar pada bekas isteri,” katanya.

Beliau berkata isteri yang kematian suami diberikan kebenaran bekerja dari rumah sewaktu tempoh edah (empat bulan 10 hari) dan majikan tidak boleh memaksa mereka bekerja di pejabat sebagai menghormati keadaan mereka sehingga tamat edah.

Dalam pada itu, perdana menteri sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berganjak dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara serta kedudukan Sabah dalam Malaysia, sekali gus akan mempertahankan ia untuk selama-lamanya.

“Segala tuntutan Sultan Sulu akan kita failkan pembatalannya di mahkamah di Paris, Perancis.

“Sebagai parti UMNO yang memperjuangkan kemerdekaan, tidak akan sesekali menggadaikan kedaulatan negara kepada mereka yang mimpi di siang hari,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )