Pelan pelancongan mudahkan MOTEC bantu negeri – Nancy Shukri

GEDONG (Sarawak),. Setiap negeri perlu mengemukakan pelan pelancongan masing-masing kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) supaya bantuan yang sesuai dapat disalurkan demi untuk memajukan industri itu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri hari ini berkata setiap negeri perlu menentukan keperluan masing-masing untuk mengenal pasti “niche market” mereka tanpa perlu ditentukan oleh kementerian.

“Bagi kementerian kita, adalah penting potensi-potensi pelancongan di semua negeri dibangunkan dan digerakkan kerana pendapatan daripada sektor pelancongan menyumbang 15.3 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar),” katanya kepada media selepas melawat perusahaan tenunan songket di Desa Girang Jaya, Kampung Kanchong Baru di sini.

Beliau berkata Motac akan terus membanyakkan lawatan ke tempat-tempat tarikan pelancong dan pusat pengeluaran produk pelancongan di Sarawak bagi mengenal pasti kaedah untuk mempromosinya.

“Saya rasa adalah perlu untuk melaksanakan lebih banyak lagi program pelancongan di Sarawak dan membetulkan apa-apa kekurangan yang ada,” katanya.

Antara tempat yang turut dilawati Nancy serta rombongan Motac hari ini termasuklah Homestay Sadong Jaya, Jeti kelip-kelip Sadong Jaya dan Rumah Ushawan Wanita Sadong Jaya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )