Pelancong asing sumbang RM28.1 bilion
NILAI,. Aktiviti gaya hidup dan beli-belah atau ‘lifestyle and shopping’ dalam kalangan pelancong di negara ini menjadi penyumbang terbesar, kepada pendapatan pelancongan negara iaitu sebanyak RM28.1 bilion atau 33.4 peratus, pada tahun lepas.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata jumlah itu merupakan satu peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding tahun 2017.
Katanya berdasarkan kajian yang dilakukan kementerian melalui Tourism Malaysia, mendapati antara barangan yang menjadi pilihan pelancong asing adalah kraftangan, pakaian, barangan kecantikan termasuk kasut, yang menjadi pilihan utama.
“Saya tidak nafikan kepentingan tarikan gaya hidup dan beli-belah ini dalam menarik kedatangan pelancong. Saya percaya kerjasama pihak awam dan swasta adalah sangat penting, dalam memastikan perkembangan industri ini dan sememangnya kita mengharapkan bilangan pelancong dan pendapatan pelancongan bertambah melalui aktiviti jualan dan membeli-belah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian dan pecah tanah Gembox@Nilai di sini, hari ini yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut hadir, Pengarah Urusan Gembox Berhad Norman Pang dan Pengerusi Eksekutuf Kumpulan GD Holdings Datuk Seri Yeat Sew Chuong.
Tambah Muhammad Bakhtiar bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sejumlah 13.35 juta kedatangan pelancong telah direkodkan iaitu satu peningkatan sebanyak 4.9 peratus, berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Sempena Visit Malaysia 2020 kita mensasarkan 30 juta pelancong asing ke Malaysia, yang diharapkan dapat menyumbang RM100 bilion kepada pendapatan negara. Usaha ini dapat dilakukan dengan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan inisiatif swasta, seperti yang dilakukan Gembox ini,” katanya.
Mengulas mengenai pembinaan Gembox iaitu sebuah pasar malam yang bakal menghimpunkan pelbagai produk termasuk makanan dan produk kraftangan dari serata negara oleh Gembox Berhad, Aminuddin berkata ia bakal menjadi satu lagi produk pelancongan di negeri ini.
“Ini peluang untuk kita kembangkan perniagaan khususnya perniagaan anak-anak muda termasuk peluang keusahawanan kepada penduduk tempatan termasuk industri kecil luar bandar dalam sektor makanan termasuk kraftangan.
“Selain itu, kita juga ada minta daripada Pengerusi GD Holdings untuk buka peluang kepada pengusaha food truck tempatan kita untuk sama-sama bangunkan kawasan ini,” katanya.
Gembox@Nilai yang mula dibina bulan ini di atas tanah seluas 15 ekar dan dijangka memulakan operasinya pada suku pertama tahun hadapan, akan menempatkan sebanyak 850 buah gerai yang menjual pelbagai produk termasuk makanan dari setiap negeri.
Pasar malam berkonsepkan kabin itu juga dijangka akan menjadi sebuah pasar malam yang terbesar di negara ini.
— BERNAMA