Pelancong sedih tak dapat kunjungi Menara Eiffel gara-gara mogok

Pelancong sedih tak dapat kunjungi Menara Eiffel gara-gara mogok

PARIS,. Buat kali kedua, mercutanda paling ikonik di ibu kota Perancis, Menara Eiffel, terpaksa ditutup kepada umum selepas kakitangan yang mengendalikan operasi menara itu menyertai protes.

Pelancong yang menjangkakan kunjungan mereka ke tarikan pelancongan utama di Paris itu dapat meninggalkan memori indah, ternyata kecewa dengan insiden berkenaan.

Bagi yang optimis, mereka mengambil keputusan untuk kembali tahun hadapan. Namun bagi pelancong yang sukar untuk mengulang kembali kunjungan ke bandar raya dengan jolokan Ibu Kota Romantis itu, situasi tersebut membuatkan mereka hampa.

“Ya, ia amat mengecewakan kami. Kami tidak boleh mengawal situasi ini walaupun kami dah merancang untung berada di sini (Menara Eiffel) untuk seharian,” ujar Victor Hellberg ,pelancong dari Afrika Selatan.

Penutupan itu adalah sebahagian daripada kesan daripada tindakan mogok yang berpanjangan di Paris mengenai manfaat pencen.

Presiden Emmanuel Macron dalam langkah reformasinya, ingin membaik pulih sistem pencen yang antara lain membolehkan pemandu kereta api bersara sementara mereka masih berusia 50-an, namun ia mencetuskan reaksi yang berskala besar.

Mogok yang masuk hari ke-13 itu membawa kepada kesengsaraan yang lebih besar bagi penumpang dan pelancong yang terpaksa berdepan pelbagai kesulitan.

CATEGORIES
TAGS
Share This