Pelancong Singapura menginap di Hotel MITC berpeluang dapat diskaun sewa hotel

Pelancong Singapura menginap di Hotel MITC berpeluang dapat diskaun sewa hotel

MELAKA,. Pelancong dari Singapura yang menginap di Hotel Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, berpeluang mendapatkan potongan sewa hotel berdasarkan tol yang dibayar untuk memasuki Melaka bermula Mei depan, kata Pengurus Besarnya Sazali Sabri.

Beliau berkata, pemotongan harga bilik yang disewa diberikan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari republik itu menginap di hotel berkenaan khususnya selepas sempadan kedua-dua negara dibuka sejak 1 April lepas.

Katanya potongan harga berkenaan diberikan kepada pelancong Singapura yang memasuki Melaka menggunakan kenderaan mereka dan tiada had atau kuota pemberian diskaun ke atas jumlah kenderaan penginap ditetapkan.

“Sebelum ini, Hotel MITC menerima tempahan bilik daripada pelancong Singapura antara 20 hingga 30 peratus daripada jumlah 200 keseluruhan bilik yang ada di hotel ini, khususnya pada hujung minggu dan cuti sekolah.

“Jadi jika mereka masuk ke Melaka dan menginap di sini, kita akan berikan harga bilik istimewa dengan membayar tol mereka. Mereka hanya perlu menunjukkan bukti pembayaran tol berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Majlis Makan Malam dan Meraikan Pelanggan serta Rakan Media 2022 di sini pada Isnin.

Sazali berkata, pelbagai pakej menarik lain juga ditawarkan dalam usaha menarik pelancong Singapura menginap di hotel berkenaan, antaranya ibadah korban sempena Aidiladha kerana sambutan yang menggalakkan.

Katanya Pesta Durian juga dijangka diadakan pada Mei depan dan ia merupakan antara acara yang amat dinantikan pelancong Singapura khususnya yang menginap di hotel berkenaan dengan harga menarik.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This