Pelawat dengan sejarah perjalanan ke Sabah perlu jalani notis SHN di kemudahan ditetapkan

Pelawat dengan sejarah perjalanan ke Sabah perlu jalani notis SHN di kemudahan ditetapkan

SINGAPURA,. Singapura mengarahkan semua pelawat yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah, Malaysia baru-baru ini supaya menjalani Notis Duduk Di Rumah (SHN) selama 14 hari di kemudahan untuk SHN yang ditetapkan.

Peraturan baharu ini berkuat kuasa mulai pukul 2359, 14 Okt 2020.

“Ini berikutan peningkatan kes di Sabah baru-baru ini,” kata Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian ke atas COVID-19 republik itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Bagaimanapun, pasukan petugas itu berkata pengecualian diberikan kepada pelawat dari Malaysia di bawah Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang akan terus tertakluk kepada langkah kesihatan RGL sedia ada seperti saringan pra berlepas, saringan sebaik ketibaan dan jadual perjalanan terkawal pra isytihar.

Terdahulu Singapura mengumumkan pelawat dari Malaysia dibenarkan menjalani SHN selama tujuh hari di kediaman mereka dari 1 Sept, 2020.

Pasukan Petugas itu berkata peraturan baharu itu juga terpakai kepada pelawat berpangkalan di Singapura di bawah RGL yang pulang termasuk rakyat Malaysia dan pemastautin tetap memasuki Singapura di bawah Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

“Kami memantau rapi keadaan di seluruh negeri dan wilayah persekutuan, termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Buat masa ini pelawat dari Malaysia kecuali Sabah akan terus menjalani perintah SHN selama tujuh hari di kediaman mereka,” katanya.
Pasukan Petugas itu mengingatkan semua pelawat supaya mengisytiharkan sejarah perjalanan mereka dengan tepat.

“Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan dikenakan kepada pengisytiharan palsu. Saringan COVID-19 akan terus dilaksanakan sebelum tempoh SHN berakhir,” katanya.

Ia berkata langkah kawalan sempadan Singapura akan berkembang mengikut perubahan sejagat.

“Kami akan terus memantau rapi keadaan kesihatan sejagat dan mengemas kini langkah kawalan sempadan kami menurut penilaian risiko kesihatan awam.
JIka keadaan di sesebuah negara/rantau bertambah buruk, langkah yang lebih ketat akan dikenakan untuk mengehadkan risiko pengimportan dan pencegahan jangkitan komuniti daripada kes import,” katanya.

Kerajaan Malaysia hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah berkuat kuasa dari 12.01 tengah malam 13 Okt sehingga 26 Okt.

Daripada 563 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia, 51.7 peratus atau 291 kes dari Sabah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This