Pelayaran: Muhammad Fauzi-Umar Al Farouk sasar emas Sukan SEA 2019

KUANTAN,. Gandingan atlet pelayaran bagi acara International 420 Muhammad Fauzi Kaman Shah dan Umar Al Farouk Mohd Zahawi menyasarkan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2019 yang akan berlangsung di Filipina, November ini.

Muhammad Fauzi berkata sasaran itu boleh dicapai berdasarkan prestasi semasa beliau dan Umar Al Farouk, yang mula bergandingan sejak lapan bulan lalu, dalam kejohanan pelayaran tempatan dan antarabangsa yang semakin serasi antara satu sama lain.

“Apa yang penting ialah fokus semasa latihan dan mengulangkaji kesilapan yang dilakukan dalam kejohanan sebelum ini selain banyak belajar daripada pengalaman atlet lain,” katanya.

Muhammad Fauzi dan Umar Al Farouk ditemui pemberita pada majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Perahu Layar Terbuka KFC-Pahang kali ketujuh yang diadakan di Pusat Rekreasi Pantai Persatuan Perahu Layar Negeri Pahang (PPLP) Beserah di sini.

Muhammad Fauzi berkata penyertaan mereka pada kejohanan itu juga sebahagian daripada persediaan dan untuk membina keyakinan sebelum beraksi dalam Sukan SEA 2019.

Turut menyertai kejohanan berkenaan ialah dua atlet remaja kebangsaan iaitu Putera Adrine Danish Mohd Puad dan Ummu Nurdania Rozaini, yang turut akan beraksi pada temasya Sukan SEA 2019 dalam acara Optimist.

Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) pada Jun dilaporkan mensasarkan membawa pulang empat pingat emas daripada 12 acara yang akan disertai pada Sukan SEA 2019.

Sementara itu, Pengerusi PPLP Wan Abdul Razak Wan Mohamed berkata penganjuran kejohanan selama tiga hari bermula Jumaat lalu disertai 142 pelayar termasuk dari Indonesia dan Thailand.

“Ini kali pertama pelayar luar negara menyertai kejohanan ini selepas tujuh kali ia diadakan. Kita berharap akan menerima lebih banyak penyertaan termasuk dari atlet luar pada sesi kejohanan akan datang.

“Maklum balas daripada pelayar luar negara juga adalah baik kerana jarak pantai ke laut yang tidak jauh memudahkan mereka untuk menarik perahu mereka,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )