Pelita kekabu jadi tarikan pengunjung Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022

Pelita kekabu jadi tarikan pengunjung Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022

KUALA TERENGGANU,. Demonstrasi pembuatan pelita kekabu yang ditunjukkan seorang petani dari Besut menjadi tarikan orang ramai sepanjang penganjuran Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 yang berlangsung sejak Jumaat lepas.

Mohd Zailani Mohd Nor, 46, yang berasal dari Kampung Alor Keladi, Jerteh berkata beliau membawa hampir 2,500 buah kekabu untuk dijadikan pelita dan diagihkan kepada pengunjung yang datang ke program itu.

“Sebenarnya, pelita kekabu ini adalah cara tradisional generasi terdahulu untuk menerangi kegelapan malam. Cuma, penggunaannya tidak meluas seperti pelita buluh kerana pokok kekabu agak jarang ditemui…kalau ada pun tidaklah begitu banyak seperti buluh.

“Ramai pengunjung yang berasa pelik dan kagum melihat pembuatan pelita kekabu ini dan mengakui ia adalah pengalaman pertama kali melihatnya. Ada yang rakam video dan foto sebagai kenangan mereka hadir ke program ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Kaedah membuat pelita kekabu ialah menggunakan putik buah yang masih muda dan dibelah dua. Seterusnya alat gerudi digunakan untuk mengeluarkan isi kekabu dan ruang kosong itu diisi dengan minyak dan diletakkan isi kekabu sebagai sumbunya.

Mohd Zailani berkata tidak ramai yang tahu kaedah penghasilan pelita kekabu itu kecuali penduduk di sekitar daerah Besut dan ia semakin pupus kerana kesukaran mendapatkan putik kekabu.

“Sebelum ini saya hanya buat pelita kekabu untuk kegunaan sendiri di rumah pada Ramadan dan Aidilfitri. Saya pun terkejut apabila dihubungi Pejabat Daerah Besut yang meminta saya hadir ke program ini untuk membuat demonstrasi kepada orang ramai.

“Pada mulanya, memang tak pernah terfikir hendak menjual pelita kekabu ini, namun ramai pula pengunjung yang bertanya kerana mahu membeli pada masa akan datang…tengok nanti macam mana, mungkin boleh difikirkan untuk tahun depan,” kata bapa kepada empat anak itu.

Program tahunan anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu yang diadakan selama lima hari bermula Jumaat lepas dan berakhir malam tadi berjaya mencatat kedatangan hampir 19,000 pengunjung.

Bertempat di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri Terengganu dekat Losong di sini, pelbagai replika pelita unik dan menarik ditonjolkan oleh setiap pejabat daerah yang melambangkan keistimewaan tersendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu Ariffin Deraman yang merasmikan program tersebut malam tadi berkata lebih 3,000 pelita raya menghiasi rumah-rumah warisan dan pekarangan kampung budaya Terengganu sepanjang ia berlangsung.

“Setiap daerah menonjolkan kreativiti masing-masing seperti Kemaman dengan konsep perkampungan nelayan (replika perahu, ombak dan juga pokok kelapa), Hulu Terengganu (replika rumah bot, ikan kelah dan Jambatan Pulau Poh), Besut (wau bulan) dan Setiu (replika kapal layar).

“Begitu juga Kuala Nerus dengan konsep kampung tradisional dan Marang (replika hidupan laut iaitu udang dan ikan). Ini adalah satu lagi acara pelancongan yang sangat istimewa di Terengganu dan kerajaan negeri yakin ia akan bertambah menarik pada tahun depan,” katanya.

Untuk rekod, pertandingan pelita raya mula diperkenalkan pada peringkat kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri Tepuh bermula 2009 kemudiannya dikembangkan menjadi penganjuran yang lebih besar dengan penglibatan kampung berhampiran. Jabatan Pelancongan mula mengambil alih peganjuran pada 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This