Peluang Pahang Rangers buru kejuaraan MPFL masih ada

Peluang Pahang Rangers buru kejuaraan MPFL masih ada

KUALA LUMPUR, 1 Sept — Ketua jurulatih Pahang Rangers, Taufik Yaiyah yakin pasukan kendaliannya mampu memberi saingan kepada pendahulu, Selangor dalam misi memburu kejuaraan sulung Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) walaupun sekadar seri 5-5 dengan Terengganu di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, semalam.

Keputusan itu menyaksikan Pahang Rangers terlepas peluang untuk terus menghimpit rapat kedudukan pendahulu Selangor yang berjaya melebarkan kelebihan di tangga teratas kepada enam mata hasil kemenangan 6-3 ke atas KL City dalam perlawanan berlangsung selepas itu di venue yang sama.

Sehubungan itu, Taufik menuntut pasukan kendaliannya kembali bangkit meraih kemenangan dalam baki empat perlawanan musim ini untuk menghidupkan peluang pasukan berkenaan meraih kejuaraan sulung MPFL.

“Kita bermain di bawah par dan melakukan beberapa kesilapan ketika bertahan, menjaringkan banyak gol tetapi dalam masa sama melepaskan banyak gol. Terengganu pula bermain dengan lebih agresif di babak kedua dan ianya satu mata yang adil buat kedua-dua pasukan dengan komitmen yang ditunjukkan.

“Apapun kami tidak boleh membiarkan keputusan perlawanan ini menyentap semangat dan moral pemain untuk aksi seterusnya. Jangan biarkan ia mengganggu persiapan kita. Kita ada empat perlawanan, semuanya ibarat final. Peluang masih ada dan kita perlu berjuang untuk menang semua perlawanan,” jelas Taufik dalam satu kenyataan dikeluarkan pasukan berkenaan, hari ini.

Pada aksi di Shah Alam, Terengganu berada di depan menerusi jaringan Hafizi Ismail seawal minit kelapan perlawanan, sebelum dua pemain kebangsaan, Khairul Effendy Bahrin dan Abu Haniffa Hassan memberikan kelebihan 2-1 pada separuh masa pertama buat Pahang Rangers, hasil dua jaringan pantas pada minit ke-12 dan minit ke-13.

Terengganu berjaya menambah empat lagi gol pada babak kedua perlawanan menerusi jaringan Amirrul Izzad Adang pada minit ke-24, Akil Khalis Adli Khairuz (minit ke-27), Alif Mat Amin (minit ke-31) dan Hafiz Ismail pada minit ke-36.

Pahang Rangers pula meraih tiga gol menerusi jaringan Norkhairi Abd Rahman pada minit ke-23, Firdaus Ambiah (minit ke-24) dan Harith Naim pada minit ke-30.

Pahang Rangers ketika ini di kedudukan kedua MPFL 2019 dengan 29 mata, enam mata di belakang Selangor, namun beraksi kurang dua perlawanan.

Pasukan Pantai Timur itu perlu meraih kemenangan dengan jaringan besar sekiranya berhasrat meraih kejuaraan sulung MPFL iaitu menentang Melaka pada 15 Sept, Pulau Pinang (18 dan 29 Sept) serta Perak pada 23 Sept ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This