Peluang wanita jadi usahawan menerusi program Celebpreneur

Peluang wanita jadi usahawan menerusi program Celebpreneur

KUALA LUMPUR,. Dunia hiburan tanah air ketika ini bukan sahaja melahirkan kepelbagaian bakat artis baik dari bidang lakonan dan nyanyian sahaja.

Malah mutakhir ini ramai juga yang muncul sebagai usahawan yang berjaya dalam bidang perniagaan.

Lihat sahajalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rosyam Nor dan Neelofa.

Mereka boleh dikategorikan sebagai antara artis yang berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.
Ia sebenarnya satu perkembangan yang boleh kita banggakan dengan artis-artis tempatan negara.

Ketika ini pelbagai program bagi melahirkan usahawan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya membabitkan golongan wanita.
Menyedari hakikat ini, The Girls Republique (TGR) turut mahu memainkan peranan membantu golongan wanita agar turut muncul sebagai usahawan berjaya.

Program Celebpreneur atau selebriti usahawan di bawah kendalian TGR adalah bertujuan melahirkan seberapa ramai golongan wanita dalam bidang keusahawanan yang difikirkan mempunyai prospek dan daya saing.

Menurut pengasasnya Datin Marlinda Rafikah, program ini mampu membuka peluang buat mereka menjana pendapatan tambahan kepada golongan wanita.

“Selain berpeluang untuk membina dan mengukuhkan potensi serta personaliti diri, ahli-ahli baru TGR juga akan diberi rangsangan kepada kerja-kerja berkumpulan, pendedahan inklusif terhadap ilmu perniagaan serta keusahawanan, di mana pastinya ia akan membuka peluang buat mereka menjana pulangan dan pendapatan.

“Penyertaan TGR bukan hanya memfokuskan kepada wanita muda yang sudah bekerjaya dan berjaya, malah kepada mereka yang masih dialam persekolahan, sedang menuntut atau menyambung pelajaran di mana-mana institut pengajian dalam dan luar negara,” katanya kepada Astro AWANI.

Menurutnya, mereka juga berpeluang menimba pengalaman dengan Team Produksi TGR untuk menghasilkan Mini-Series, Single Song serta Music Video, sekali gus memberi pendedahan kepada mereka untuk mengukuhkan pakej personaliti diri khususnya penyertaan mereka dalam bidang nyanyian serta lakonan.

Menerusi pelbagai aktiviti dianjurkan, setiap ahli TGR ini juga akan didedahkan dengan pengetahuan berkenaan teknik dan kaedah pemasaran berkesan di media sosial, di samping mereka juga berpeluang berkongsi pengalaman serta ilmu dengan mereka yang sudah berjaya dalam bidang diceburi.

Sepanjang tahun ini, TGR turut menganjurkan beberapa TGR Competition di mana setiap ahli dan ketua pasukan yang menyertainya akan berpeluang untuk mengumpul mata tertentu, seterusnya memenangi hadiah lumayan yang akan ditawarkan.

CATEGORIES
TAGS
Share This